Friday 13 September 2013

Pelan penyerahan senjata Syria diserah kepada AS


MOSCOW 12 Sept. - Rusia telah mengemukakan pelan penyerahan senjata kimia milik Syria yang akan dibuat dalam empat peringkat kepada Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar harian Rusia, Kommersant hari ini.
Pelan yang buat pertama kalinya diumumkan oleh Rusia pada minggu ini dan bertujuan untuk mengelak campur tangan tentera oleh AS di Syria itu, akan bermula dengan Damsyik menjadi anggota Pertubuhan Penentang Senjata Kimia (OPCW).
Di peringkat kedua pula, Syria kemudiannya akan mendedahkan lokasi gudang senjata kimia di negara itu dan tempat ia dibina.
Menurut laporan Kommersant yang memetik sumber diplomatik Rusia, peringkat seterusnya akan menyaksikan pemeriksa OPCW dibenarkan ke Syria untuk memeriksa senjata tersebut sebelum keputusan dibuat tentang bagaimana untuk memusnahkannya di peringkat terakhir.
Kommersant menyatakan, pihak yang bertanggungjawab memusnahkan senjata itu masih belum diputuskan, tetapi tidak menolak AS dan Rusia akan terlibat.
Bercakap di Kazakhstan, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov tidak memberikan butiran terperinci tentang pelan itu, tetapi menyatakan ia akan berhasil serta dapat mengelak penggunaan ketenteraan.
Lavrov dan rakan sejawatnya dari AS, John Kerry dalam pada itu dijadual membincangkan pelantersebut di Geneva lewat hari ini.
Menurut Lavrov, kedua-dua pihak akan membawa pakar senjata kimia masing-masing untuk terlibat dalam perbincangan itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130913/lu_06/Pelan-penyerahan-senjata-Syria-diserah-kepada-AS#ixzz2eiu3QujI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment