Thursday 24 October 2013

25 polis maut dalam serangan terancang


Ramadi (Iraq): Pengebom berani mati dan kumpulan bersenjata semalam membunuh 25 orang anggota polis dan tiga orang awam dalam siri serangan terancang di wilayah Anbar, kata pegawai kerajaan semalam.

Serangan itu berlaku antara jam 10 malam sehingga tengah malam kelmarin turut mencederakan 26 anggota polis. Empat daripada serangan itu menyasarkan bandar Rutba, kira-kira 110 kilometer dari sempadan Syria.


Seorang pengebom berani mati meledakkan sebuah lori tangki sarat berisi bahan letupan di sebuah pos pemeriksaan polis di timur Rutba. Dalam kejadian berasingan, militan dengan bersenjata berat menyerang balai polis Rutba dan seorang lagi pengebom berani mati meletupkan kenderaan dipandunya di pos pemeriksaan di timur bandar berkenaan. Serangan itu menyebabkan 18 polis terbunuh dan 25 lagi cedera.

Tiga orang awam turut maut apabila pengebom berani mati yang lain meletupkan lori tangki di atas sebuah jambatan di barat Rutba.


Kira-kira jam 11 malam, kumpulan bersenjata menyerang pos pemeriksaan polis di laluan masuk ke Ramadi, Anbar, menyebabkan tiga lagi anggota keselamatan maut.


Satu lagi pos pemeriksaan polis di bandar itu turut diserang dan empat anggota keselamatan maut. - AFP

No comments:

Post a Comment