Thursday 24 October 2013

Setuju tolak Bashar pada masa depan


London: Barat dan negara Arab semalam mencapai persetujuan dengan kumpulan penentang kerajaan Syria supaya menolak sebarang pembabitan Presiden Bashar al-Assad dalam kerajaan akan datang.

Sebanyak 11 negara digelar Sahabat Syria berkumpul di London untuk bertemu dengan kumpulan utama penentang Bashar.


Bagaimanapun mereka masih bergelut untuk meyakinkan kumpulan penentang kerajaan itu untuk menghadiri rundingan damai yang sepatutnya diadakan di Geneva bulan depan.

Setiausaha Luar Britain, William Hague berkata, negara Sahabat Syria menggesa Gabungan Kebangsaan Syria kumpulan menaungi gerakan menentang kerajaan Bashar memberikan komitmen penuh menyertai rundingan Geneva 2 itu.


“Sahabat Syria akan bersatu menyokong usaha membentuk kerajaan peralihan di Syria dan Bashar tidak akan mempunyai sebarang peranan pada masa depan,” katanya.


Pada masa sama, Bashar tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berundur walaupun konflik di negara itu kini memasuki tahun ketiga.

Dalam temubual kelmarin, Bashar menegaskan kesediaannya untuk bertanding sekali lagi dalam pilihan raya umum tahun depan. Sementara itu, pemimpin gabungan berkenaan. Ahmad Jarba mengulangi pendirian mereka untuk berlembut daripada tuntutan asal. “Tidak akan ada sebarang rundingan langsung tanpa jaminan bahawa Geneva 2 akan menetapkan tempoh peralihan dan waktu untuk Bashar berundur,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment