Friday 1 November 2013

Syria musnah senjata kimia


 2013/11/01
Beirut: Syria memusnahkan semua pengeluaran senjata kimia yang diisytiharkan serta kemudahan pemprosesannya sekali gus memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan, kata pertubuhan pemantau antarabangsa semalam.

Menurut Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) berkata, anggotanya menyiasat 21 daripada 23 tapak senjata kimia di seluruh Syria.


Dua lagi lokasi dianggap terlalu berbahaya untuk dikunjungi tetapi peralatan kimia sudah dipindahkan ke lokasi lain yang sudah diperiksa.

Dokumen dikeluarkan OPCW mendakwa, mereka berpuas hati dengan perkembangan itu.


“OPCW menyaksikan senjata kimia yang diisytihar kerajaan serta peralatan berkaitan dimusnahkan dari semua 23 tapak yang dinyatakan,” katanya.


Berdasarkan perjanjian diusahakan Russia dan AS, Damsyik bersetuju memusnahkan semua senjata kimianya selepas Washington mengancam menggunakan tentera bagi membalas kematian orang awam di pinggir ibu negara Syria pada 21 Ogos lalu.

Ia dianggap serangan senjata kimia paling buruk sejak Saddam Hussein menggunakan kaedah sama terhadap penduduk Kurdis di bandar Halabja 25 tahun lalu.

AS dan sekutunya menyalahkan Damsyik atas serangan itu tetapi Presiden Bashar al-Assad menafikan tuduhan itu, malah mendakwa ia dilakukan musuh politiknya. - Reuters


No comments:

Post a Comment