Sunday 1 December 2013

Kristianisasi, ancaman baru Muslim Syria


MUHAMAD MAT YAKIM
1 Disember 2013
Kristianisasi, ancaman baru Muslim Syria
Kanak-kanak Syria gembira menerima bantuan daripada sukarelawan pelajar Malaysia.
Kristianisasi, ancaman baru Muslim Syria
Sumbangan yang diberi kepada pelarian Syria.
Kristianisasi, ancaman baru Muslim Syria
Musa bersama Khalid di rumah keluarganya.
Kristianisasi, ancaman baru Muslim Syria
Banner misi bantuan kepada pelarian Syria di Jordan.

Kristianisasi, ancaman baru Muslim Syria

APALAH sangat yang diketahui oleh Khalid, 6, mengenai pergolakan yang sedang berlaku di negaranya, Syria. Sebahagian daripada usia kecilnya sudah dihabiskan sebagai pelarian yang hidup dalam seribu satu kepayahan.

Janganlah ditanya kepada Khalid atau sesiapa pun, bila semua itu akan berakhir. Setakat ini belum ada tanda ia akan reda malah mungkin akan lebih buruk jika senjata biologi digunakan lagi, atau apabila negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Rusia menjadikan sebahagian daripada bumi Syam itu sebagai medan beradu kekuatan.

Ya, itu cerita mengenai kekejaman dan kemusnahan yang sedang berlaku di tanah air Khalid. Di sebalik semua itu, ada yang lebih membimbangkan sebenarnya - Kristianisasi.  

Gerakan Kristianisasi di kawasan pelarian Syria di Jordan kini sangat aktif, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Tidak kiralah sama ada mereka anak mujahidin atau sesiapa sahaja, ketika ayah mereka sedang berperang menentang kekejaman tentera Bashar al- Assad, tanpa mereka sedar, akidah anak-anak mereka yang ditinggalkan di khemah pelarian, juga sedang diserang dengan taktik yang sangat licik.

Itulah yang berlaku kepada Khalid, anak seorang mujahidin Tentera Pembebasan Syria (FSA) yang berasal dari Homs, Syria dan kini ditempatkan di kem pelarian di pinggir bandar Mafraq, Jordan. Untuk menyalahkan kumpulan gerakan misioner semata-mata, rasanya agak kurang adil serta kurang bijak.

Ini kerana mereka menjalankan kerja sukarela, memberi bantuan apa yang amat diperlukan oleh pelarian dan sebagai gerakan bukan Islam, mereka menggunakan gereja sebagai pusat kebajikan mereka.

Masalahnya, pada masa yang sama, mereka turut menerapkan ajaran agama mereka kepada anak-anak Islam yang masih 'putih' ini. Itulah yang berlaku kepada Khalid.

Dalam catatan Facebooknya yang bertarikh 9 September 2013, seorang pelajar Malaysia dari Universiti Al Bayt, Mafraq, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman menceritakan mengenai Khalid yang ditemui ketika Musa bersama rakan-rakannya dari kumpulan sukarelawan 'Tangisan Syria Di Bumi Jordan' berhenti rehat di rumah keluarga kanak-kanak itu di pinggir Mafraq.

Menurut Musa, kehidupan keluarga itu memang sangat daif - rumah dipenuhi tilam-tilam lama, kipas dan dapur yang sepi tanpa peti sejuk!

Ayah Khalid, katanya sedang berjihad menentang tentera Bashar di tanah air mereka. Amat membimbangkan Musa apabila ibu Khalid memberitahu, anaknya terpaksa belajar di gereja berdekatan rumah mereka.

Ini kerana ibunya tidak mempunyai pilihan untuk menyekolahkan kanak-kanak itu berikutan sekolah percuma untuk anak-anak Syria yang disediakan di Jordan sudah penuh.

"Ya ALLAH! Jagalah akidah hambamu ini. Jadikan beliau permata yang akan membela agamamu kelak," demikian doa Musa dalam catatannya.

Tidak lama selepas kunjungan pertama, apa yang paling dibimbang oleh Musa akhirnya benar-benar berlaku!

Dalam catatan bertarikh 28 Oktober, ketika mengunjungi semula rumah keluarga Khalid untuk menyampaikan bantuan makanan dan peti sejuk, Musa dikejutkan dengan makluman oleh ibu Khalid bahawa anaknya itu sedang cuba dikristiankan.

"Berita yang menggetarkan jiwa-jiwa yang punya rasa dan cakna. Kata ibunya (Khalid), suatu hari, tatkala loceng gereja dibunyikan, Khalid secara automatik menggerakkan tangannya ke dahi dan bahu membentuk lambang salib!"

"Apabila ditanya mengapa (dia berbuat demikian), Khalid mengatakan, itu adalah apa yang dipelajarinya di gereja. ALLAHUAKBAR! Lihatlah bagaimana anak-anak Muslim yang jadi pelarian cuba dikristiankan secara halus. Tahukah kita, ada ribuan lagi kanak-kanak Syria yang seakan kisahnya dengan Khalid?

"Mengapa anak-anak ini bersekolah di gereja? Kerana sekolah milik orang Islam meminta yuran sebanyak RM2,000 setahun untuk anak-anak Syria yang ingin bersekolah.

Di mana wang sebanyak ini boleh dicari? Sedangkan untuk makan sahaja, mereka perlu mengais di waktu pagi. Di gereja, semuanya adalah percuma termasuk makan dan minum setiap hari!"

"Dan adakah Kristian yang akan ditanya di akhirat kelak? Tidak. Kita yang akan ditanya. Orang Islam yang akan ditanya, apa yang kau lakukan untuk membantu saudaramu yang ditindas? Sehingga mereka terpaksa menagih bantuan dari agama-agama lain. Semoga setiap dari kita sudah sedia dengan jawapan di hadapan tuhan."

Khalid akhirnya diberhentikan dari sekolah gereja itu atas inisiatif kumpulan sukarelawan Tangisan Syria Di Bumi Jordan, Khalid kemudian dibawa menyertai bengkel al-Quran yang dianjurkan kumpulan itu hasil sumbangan wang orang ramai termasuk dari Malaysia.

Menurut Musa, pihaknya juga sudah berbincang dengan Yayasan Khalid Ibn Walid untuk menganjurkan kelas yang akan mengajar tiga mata pelajaran iaitu Matematik, Bahasa Arab dan al-Quran.

"Kami akan memindahkan kesemua murid tersebut ke kelas ini yang akan diadakan secara percuma secara berperingkat."

"Kita sebagai umat Islam juga sebenarnya mampu memberi pendidikan percuma kepada anak-anak pelarian Syria ini. Anak-anak ini tidak perlu ke gereja sehingga perlu menggadai akidah untuk mendapatkan ilmu!"

Khalid sudah diselamatkan, bagaimana nasib kanak-kanak yang lain?

No comments:

Post a Comment