Tuesday 17 December 2013

Pembunuhan beramai-ramai Syria


Sebahagian penduduk cuba mencari mangsa di sebuah daripada lokasi yang musnah dibedil tentera kerajaan di Takeek al-Bab, di Aleppo, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 16 Dis. - Sekurang-kurangnya 76 orang termasuk 28 kanak-kanak dan empat wanita terbunuh dalam satu siri serangan udara oleh tentera Syria di bandar Aleppo di sini, semalam.
Pengarah Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, helikopter milik kerajaan itu menggugurkan tong-tong berisi bom di beberapa kawasan dikuasai penentang kerajaan antaranya bandar Sakhur, Ard al-Hamra dan Haydariyeh.
Rakaman serangan itu turut dimuat naik di Internet yang jelas menunjukkan beberapa kereta terbakar dan bangunan musnah selepas dibedil tentera.
Dalam rakaman sama, aktivis badan pemantau berkata, pihak berkuasa menggunakan jentolak untuk membersihkan sisa runtuhan bangunan yang musnah dibom.
Pusat Media Aleppo menyifatkan, serangan itu merupakan yang terburuk pernah berlaku di situ.
Serangan itu berlaku ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merayu bantuan sejumlah AS$6.5 bilion (RM20.15 bilion) bagi membantu Syria dan negara-negara jirannya pada tahun depan.
Serangan tersebut dilancarkan sehari selepas Persatuan Bulan Sabit Merah Syria menghantar makanan dan bantuan perubatan ke sebuah penjara di Aleppo, yang dikuasai kumpulan penentang selama lapan bulan.
Awal minggu ini juga, kerajaan mengumumkan akan memberi pengampunan atas dasar kemanusiaan kepada penjenayah-penjenayah yang dipenjarakan.
Lebih 126,000 orang terbunuh di Syria sejak Mac 2011 dan berjuta-juta lagi meninggalkan rumah mereka untuk menyelamatkan diri daripada konflik perang saudara tersebut.
Menurut data terbaharu PBB, jumlah pelarian Syria di negara-negara Asia Barat bakal meningkat kepada 4.1 juta orang menjelang akhir tahun depan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131217/lu_03/Pembunuhan-beramai-ramai-Syria#ixzz2nj5qe8Ca
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment