Sunday 26 January 2014

Rundingan damai Syria bermula


GENEVA 25 Jan. - Perbincangan secara bersemuka antara wakil kerajaan Syria dan kumpulan pembangkang dijadualkan bermula hari ini, selepas hampir tiga tahun perang saudara di negara itu meragut lebih 130,000 nyawa.
Pertemuan kedua-dua pihak bertelagah itu akan diadakan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, dengan diketuai pegawai PBB, Lakhdar Brahimi (gambar) sebagai orang tengah.
Menurut Brahimi, sesi pembukaan rundingan itu akan tertumpu kepada perkara-perkara prosedur, sebelum kedua-dua pihak membincangkan beberapa isu besar termasuk pembebasan tahanan perang dan memberi laluan kepada konvoi bantuan kemanusiaan memasuki kawasan yang terjejas atau ditawan.
Rundingan yang disokong oleh Rusia dan Amerika Syarikat (AS) itu dikatakan menjadi peluang terakhir untuk mengakhiri konflik berdarah di Syria.
Walaupun pada mulanya, perbincangan itu hampir gagal selepas Damysik mengugut untuk menarik diri kerana tidak bersetuju dengan agenda rundingan, namun Brahimi berjaya membawa kedua-dua pihak untuk bersemuka pada hari ini.
Kerajaan Syria bertegas mahu menumpukan perbincangan tentang cara menangani keganasan dan enggan membicarakan isu peralihan politik di negara itu, yang menjadi isu utama selepas kedua-dua pihak bersetuju dalam pra syarat perjanjian yang dicapai pada Jun 2012. - AFP

No comments:

Post a Comment