Tuesday 11 February 2014

800 orang dipindahkan

800 orang dipindahkan
Pasukan palang merah memindahkan kanak-kanak dan wanita. 
11 Februari 2014

HOMS - SYRIA. Pasukan penyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat memindahkan lebih 800 penduduk awam dari kepungan di bandar barat Homs, kelmarin.

Media tempatan melaporkan dalam Press TV, penduduk awam kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dipindahkan dalam suasana genting apabila gencatan senjata antara rejim Presiden Syria Basar al-Assad dan kumpulan pemberontak dicabuli.

“Sejurus operasi menyelamat bermula, kedua-dua kumpulan melakukan serangan balas. Akibatnya, puluhan orang awam cedera ketika lari bertempiaran ke pusat pemindahan di kejiranan al-Qarabis. Kesemua mereka dalam keadaan letih dan kelaparan,” menurut laporan itu.

Seorang pelarian wanita berkata, sepanjang berada dalam kepungan, hidupnya sekeluarga umpama malapetaka apabila tiada bekalan air dan makanan.

“Tiada apa yang tinggal, semua anak-anak saya sakit. Mereka dahaga dan kelaparan,” katanya.

Jumaat lalu, kedua-dua kumpulan bersetuju melakukan gencatan senjata.

Gencatan yang dibuat melalui rundingan PBB itu bertujuan untuk memindahkan penduduk awam yang terperangkap.

No comments:

Post a Comment