Wednesday 5 February 2014

Utusan khas PBB ke Syria letak jawatan


GENEVA 4 Feb. - Timbalan Perantara Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Nasser al-Kidwa (gambar) melepaskan jawatan yang disandangnya itu semalam, ketika rundingan damai bagi menamatkan perang saudara di Syria sedang berlangsung, selepas kerajaan Syria berulang kali menggesa supaya beliau diketepikan.
PBB yang mengesahkan pengunduran itu berkata, Nasser sudah memberitahu Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon untuk melepaskan jawatan itu yang berkuatkuasa minggu ini.
Nasser yang juga bekas Menteri Luar Palestin dan anak saudara kepada bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat, dilantik memegang jawatan berkenaan pada Mac 2012.
Pengunduran itu dibuat seminggu selepas rundingan damai antara kerajaan Syria dan kumpulan penentang kerajaan berlangsung, sebelum berakhir pada Jumaat lalu dan akan disambung semula pada 10 Februari ini.
Menurut seorang diplomat, peranan yang dimainkan oleh Nasser sering dibincangkan sebelum rundingan yang diadakan di Geneva itu berlangsung, apabila delegasi yang mewakili Presiden Bashar al-Assad mahu beliau disingkirkan.
''Kerajaan Syria dari awal rundingan lagi menyatakan mereka lebih suka jika Nasser tiada di sini, kerana beliau sering bersama pemimpin Palestin sebelum ini,'' menurut sumber dalaman PBB.
Dalam perkembangan berasingan, sekurang-kurangnya 26 orang terkorban dalam serangan udara terbaharu tentera kerajaan Syria di utara Aleppo, masuk hari ketiga selepas tentera kerajaan bertindak menggugurkan tong berisi peledak, kelmarin.
Menurut Kumpulan Hak Asasi Manusia Syria, 12 orang lelaki, 11 orang kanak-kanak dan tiga orang wanita terbunuh apabila peledak yang dilancarkan oleh helikopter tentera meletup di kawasan perumahan mereka.
Kumpulan berkenaan turut melaporkan, bulan Januari lepas merupakan bulan yang paling banyak mencatat kematian sejak tercetusnya perang saudara di Syria tiga tahun lalu, dengan mencatatkan 5,794 kematian.
''Sebanyak 1,732 orang yang terkorban adalah orang awam, termasuk 358 orang kanak-kanak.
''Sebanyak 2,546 orang penentang kerajaan dan sekurang-kurangnya 1,486 askar kerajaan dan militan turut terbunuh, dengan 30 mayat masih gagal dikenal pasti,'' dakwa Kumpulan Hak Asasi Manusia Syria. - AFP/REUTERS/DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140205/lu_11/Utusan-khas-PBB-ke-Syria-letak-jawatan#ixzz2sOVBw12V
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment