Saturday 24 May 2014

Konflik Syria: China, Rusia guna kuasa veto


WASHINGTON/BEIRUT 23 Mei - China dan Rusia semalam menggunakan kuasa veto mereka menolak draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi merujuk Syria ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas jenayah yang dilakukan pihak kerajaan dan puak penentang dalam tempoh tiga tahun perang saudara di negara itu.
Ini merupakan kali ketiga China dan Rusia menyekat resolusi negara-negara Barat berhubung konflik di Syria, sekali gus menggagalkan usaha Majlis Keselamatan untuk menghentikan perang yang telah meragut lebih 160,000 nyawa.
Sebanyak 13 anggota badan keselamatan itu mengundi menyokong resolusi itu dan kuasa-kuasa besar Barat mengkritik China dan Rusia kerana melindungi bukan hanya kerajaan Syria, malah kumpulan-kumpulan pengganas daripada kalangan puak penentang.
"Cucu-cucu kita akan bertanyakan kepada kita beberapa tahun dari sekarang tentang bagaimana kita gagal membawa keadilan kepada orang yang hidup di dunia ini. Mangsa-mangsa serangan tentera kerajaan dan pengganas berhak mendapat lebih daripada sekadar mengira jumlah korban,'' kata Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Samantha Power.
China dan Rusia, bagaimanapun membalas kritikan itu dengan menyatakan bahawa penggunaan kekerasan dengan merujuk kedua-dua belah pihak yang terlibat dalam konflik di Syria kepada badan kehakiman antarabangsa akan menyukarkan usaha untuk mencari penyelesaian politik di negara itu dan menyemarakkan lagi api peperangan.- AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140524/lu_03/Konflik-Syria-China-Rusia-guna-kuasa-veto#ixzz32a70ryRt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment