Saturday 24 May 2014

Pemuda dituduh galak keganasan


TELOK KEMANG 23 Mei - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson, dekat sini hari ini atas tuduhan menggalakkan keganasan di Syria pada November tahun lalu.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Mohd. Khairil Mi, 27, dari Rompin, Pahang selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret M. Mageshwary.
Mohd. Khairil yang memakai kemeja jean berwarna biru didakwa menggalakkan keganasan untuk memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah inap desa di No. 36, Jalan 1 1/2, Taman Intan Perdana, Port Dickson dekat sini antara pukul 10 malam, 1 November dan 3 petang, 3 November 2013.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengendalikan pendakwaan memaklumkan tertuduh yang ditahan di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) pada 28 April lalu tidak dibenarkan ikat jamin atas faktor keselamatan.
Wan Shaharuddin turut memohon supaya tertuduh yang diwakili peguam, Mohd. Radzlan Jalaludin dan Wan Hidayati Nadirah Wan Ahmad Nasir ditahan di Penjara Kajang, Selangor dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mageshwary menetapkan sebutan semula kes pada 4 Jun ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140524/ma_03/Pemuda-dituduh-galak-keganasan#ixzz32aAhcvMW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment