Saturday 24 May 2014

Militan: 2 penganggur didakwa



Mohd. Hafiz Zahri Suparyatnoh (dua dari kiri) dan Mohd. Armie Fatihah Mohamad Hashim (tiga dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, Perak, semalam kerana didakwa terlibat dengan kegiatan militan dua bulan lalu. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
TAIPING 23 Mei - Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyokong dan menggalakkan kegiatan keganasan, awal bulan lalu.
Mohd. Hafiz Zahri Suparyatnoh, 28, dan Mohd. Armie Fatihah Mohamad Hashim, 22, masing-masing hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Eyu Ghim Siang.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Hafiz Zahri didakwa dengan penge­tahuan dan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas yang dikenali sebagai The Islamic State Of Iraq and Syam (ISIS) di Kampung Air Jernih, Ijok, di sini di antara pukul 10 pagi, 4 April dan 12.30 tengah hari, 6 April lalu.
Mohd. Armie pula didakwa pada masa, tarikh dan tempat yang sama menggalakkan perlakuan dan perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu ideologi dan perbuatan itu dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.
Mohd. Hafiz Zahri didakwa mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan manakala Mohd. Armie dituduh mengikut Seksyen 130G(a) akta sama, masing-masing membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun dan denda atau boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan digunakan bagi kesalahan itu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Tiada jaminan ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada tertuduh memandangkan kesalahan di bawah seksyen tersebut tidak memperuntukkan sebarang jaminan.
Ghim Siang menetapkan 30 Mei ini untuk tarikh sebutan semula kes tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140524/ma_01/Militan-2-penganggur-didakwa#ixzz32aA06T51
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment:

  1. Bukankah mereka berpihak pd pihak yg benar? Bukankah mereka menyokong mujahidin? Knp mereka harus dikenakan hukuman? Kenapa sekarang dimalaysia para mujahidin digelar sbg militan? Dimana kah pujian kita kerana pengorbanan mereka? Salahkah jika kita menyokong perjuangan para mujahidin...? Hingga terpaksa diambil tindakan undang2??

    ReplyDelete