Friday 22 August 2014

Pernah ditahan ISA, rompak bank



KERATAN Utusan Malaysia semalam.
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Tiga rakyat Malaysia yang ditembak kereta kebal mengakibatkan seorang daripadanya terbunuh manakala dua lagi cedera ketika berjuang di Syria kelmarin, merupakan bekas anggota kumpulan militan yang ditumpaskan pihak berkuasa ialah Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).
Dua daripadanya iaitu Mat Soh atau Abu Turab dan Zainuri Kamarudin, 47, juga pernah ditahan di bawah Akta Senjata Api kerana bersubahat merompak sebuah bank di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 15 Jun 2001.
Mohd. Rafi Udin, 48, pula adalah bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan, pihaknya percaya Mat Soh yang terbunuh di wilayah Hama kelmarin merupakan lelaki yang bernama Zainan Harith, 52, yang menetap di Petaling Jaya dan merupakan anggota KMM.
Katanya, Mohd. Rafi yang kini kritikal merupakan pemandu teksi yang menetap di Cheras dan pernah ditangkap polis Indonesia pada 22 April 2003 di Palu, Sulawesi, Indonesia.
"Dia kemudian diusir keluar dari negara itu setahun kemudian dan ditangkap di bawah ISA seterusnya dibebaskan pada 18 Ogos 2006.
"Zainuri pula yang cedera di bahagian paha dan tengkuk merupakan juruteknik yang berasal dari Bota, Perak. Ketika ditangkap polis pada 15 Jun 2001, dia memiliki senjata api dan 412 peluru serta bahan letupan. Dia kemudian dipenjara 10 tahun dan 18 kali sebatan.
"Selain daripada itu, kedua-dua mereka (Mohd, Rafi dan Zainuri) pernah menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ayob Khan turut menjelaskan, dianggarkan sehingga kini seramai 30 rakyat Malaysia berada di negara bergolak seperti Syria dan Iraq untuk berperang dengan tentera pemberontak.
Katanya, angka itu terus meningkat berbanding hanya kira-kira 20 orang, sepanjang tahun lalu.
"Pihak polis telah mengenal pasti seramai 22 rakyat Malaysia yang berada di negara-negara berkenaan dan terlibat secara langsung dalam konflik terbabit.
"Ada yang telah meninggal dunia namun kita menghadapi kesukaran untuk mengesahkan perkara tersebut," katanya.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, pihak polis mempunyai maklumat awal tentang pemergian sebahagian daripada mereka yang terlibat ke Syria, bagaimanapun terdapat kekangan untuk mengambil tindakan.
"Kami tidak mempunyai bukti kukuh untuk menangkap mereka di bawah undang-undang baharu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang menggantikan ISA," katanya.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, tiga rakyat Malaysia yang sedang berjuang di wilayah Hama, Syria, dibedil oleh kereta kebal tentera Bashar al-Assad, mengakibatkan seorang daripadanya terkorban manakala dua lagi cedera.
Kejadian itu menjadikan seramai tiga rakyat Malaysia telah terbunuh di negara bergolak iaitu seorang pekerja kilang, Ahmad Tarmimi Maliki, 26, yang menjadi pengebom berani mati Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di Iraq pada Mei lalu.
Seorang lagi iaitu, Abu Faz yang belum dikenal pasti identitinya pula maut ditembak di Damsyik, Jun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140822/je_02/Pernah-ditahan-ISA-rompak-bank#ixzz3B4P8ao2s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment