Thursday 21 August 2014

Rakyat Malaysia maut di Syria


KUALA LUMPUR 20 Ogos - Tiga rakyat Malaysia yang sedang berjuang di Syria, dibedil oleh kereta kebal tentera Bashar al-Assad, mengakibatkan seorang daripadanya terkorban manakala dua lagi cedera, awal pagi semalam.
Dalam kejadian terbaharu di wilayah Hama negara itu, mangsa yang terbunuh semalam dikenali sebagai Mat Soh atau nama panggilannya, Abu Turab manakala rakannya yang tercedera ialah Mohd. Rafi Udin, 48, dan Zainuri Kamarudin, 47.
Berita kematian lelaki itu dinyatakan di dalam Facebook milik seorang individu dikenali sebagai Ustaz Lotfi dari Baling, Kedah yang turut berada di Syria untuk berjuang bersama pasukan pemberontak di sana sejak awal tahun ini.
Menurut Ustaz Lotfi, Mat Soh terkorban ketika mereka sedang berperang di sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Syar'aya.
"Ketika itu, saya ke depan untuk mempertahankan kampung tersebut dan tiba-tiba peluru kereta kebal jatuh ke arah Mat Soh dan dia terkorban.
"Mat Soh sungguh taat dan patuh kepada arahan yang diberi, tak pernah membantah walaupun dia lebih berusia daripada saya," katanya dalam laman sosial itu.
Kejadian itu menjadikan seramai tiga rakyat Malaysia telah terbunuh di negara berkenaan iaitu seorang pekerja kilang, Ahmad Tarmimi Maliki, 26, yang menjadi pengebom berani mati Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di Iraq pada Mei lalu dan seorang pemuda, Abu Faz yang belum dikenal pasti identitinya yang maut ditembak di Damsyik, Jun lalu.
Mat Soh telah dikebumikan di perkampungan itu pada hari kejadian dan rakannya, Mohd. Rafi kini dipercayai sedang dalam keadaan kritikal kerana cedera parah, manakala Zainuri pula cedera di bahagian tengkuk dan paha.
Utusan Malaysia difahamkan, identiti Mat Soh itu belum dapat dipastikan lagi namun dia dipercayai ke Syria untuk menyertai perjuangan atas nama jihad sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu, kematian tersebut menjadikan tiga rakyat Malaysia telah terkorban ekoran menyertai kancah peperangan di negara bergolak berkenaan.
"Mat Soh dan dua rakannya yang tercedera itu dipercayai menjadi ahli kumpulan rakyat Malaysia yang sedang berperang dengan tentera Bashar al-Assad di Timur Hama.
"Sehingga kini kita tidak mempunyai sebarang latar belakang tentang Mat Soh," katanya.
Sebelum ini, sebilangan rakyat Malaysia dilaporkan ke Syria atas nama jihad meskipun tindakan itu menjadi kesalahan di sisi undang-undang Malaysia.
Bahagian Counter Terrorism turut menahan 19 militan yang dipercayai mahu ke negara bergolak itu untuk berperang. Tujuh daripada mereka telah didakwa.
Utusan Malaysia sebelum ini juga mendedahkan, seorang lelaki yang digelar 'ustaz' dan seorang bekas pemuzik sebuah kumpulan terkenal era 80-an telah berada di Syria untuk berjuang bersama pasukan pemberontak di Syria sejak beberapa bulan lalu.
Dianggarkan puluhan rakyat Malaysia pergi ke Syria sejak dua tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140821/je_03/Rakyat-Malaysia-maut-di-Syria#ixzz3AybfuWVB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment