Tuesday 2 September 2014

42 kanak-kanak terbunuh di Syria


ORANG ramai mengeluarkan mayat seorang penduduk yang terbunuh selepas kediaman mereka ranap dibom tentera kerajaan Syria di wilayah Aleppo kelmarin.


BEIRUT - Sekurang-kurangnya 42 kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara dan bedilan meriam oleh tentera kerajaan Syria dalam tempoh 36 jam lalu, kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria kelmarin.
Pertubuhan yang berpangkalan di Britain itu berkata, seramai 25 kanak-kanak terbunuh antara tengah malam Sabtu hingga tengah hari kelmarin dan lebih 17 lagi terbunuh antara Jumaat dan Sabtu malam.
Pengarah pertubuhan itu, Rami Abdul Rahman berkata, kebanyakan kematian berpunca daripada serangan udara dan bedilan meriam tentera Syria di seluruh negara, manakala wilayah Aleppo dan Idlib antara yang paling teruk terjejas.
Katanya, tentera Syria menggunakan sejenis bom yang dikenali sebagai bom barel yang tidak mempunyai ketepatan tetapi mampu menyebabkan kesan letupan yang besar.
"Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak dan lima penduduk dewasa maut dalam serangan bom berkenaan di bandar Hobait di wilayah Idlib kelmarin," katanya.
"Di wilayah Aleppo lima lagi kanak-kanak dan tiga dewasa terbunuh dalam satu serangan udara di barat wilayah berkenaan," tambahnya.
Sementara itu, pesawat pejuang Syria terus mengebom wilayah Jubar selepas tentera negara itu mula melancarkan operasi bagi menawan lokasi berkenaan yang kini ditawan pejuang pemberontak.
Kata pertubuhan tersebut, sekurang-kurangnya 15 serangan udara dilancarkan oleh tentera Syria di wilayah itu tetapi jumlah kematian masih belum diperolehi.
Seramai 191,000 penduduk Syria dilaporkan terbunuh sejak konflik di negara itu tercetus pada Mac 2011. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0902&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3C6WOdTFO 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment