Portal Al Jazeera melaporkan, orang ramai yang melihat pergerakan konvoi itu dari sebuah stadium bola sepak semalam, melaungkan ‘Katakan dengan kuat dan jelas, pendatang disambut baik di sini’.
Konvoi itu akan memasuki Hungary selepas berhenti di pusat pelarian di Neckelsdorf, sempadan negara berkenaan.
Seorang penganjur kempen itu, Kurto Wendt berkata, beliau tidak takut ditangkap di Hungary.
Dalam pada itu, di Munich, kira-kira 2, 500 pendatang dijangka tiba di Jerman dari Austria hari ini, selepas kira-kira 20,000 orang tiba di negara ini pada hujung minggu lalu.
Presiden kerajaan Upper Bavaria, Christoph Hillenbrand berkata, sebanyak tiga buah kereta api membawa kira-kira 2,100 pendatang dijangka tiba di Jerman pada pukul 2.30 petang (8 malam waktu Malaysia) dari Salzburg, manakala 400 orang lagi akan tiba di sana dari Budapest pagi ini.
Sebanyak lima orang cedera apabila berlaku kebarakan di pusat perlindungan pelarian di Rottenburg, Baden-Wuttemberg awal hari ini, satu daripada dua kebakaran yang berlaku di kemudahan tersebut sejak malam tadi.
Polis masih menyiasat punca kejadian selepas berlaku beberapa perbuatan membakar dengan sengaja terhadap pusat pelarian.
Sementara itu, pemimpin Vatican, Pope Francis menggesa semua gereja, komuniti, dan tempat perlindungan mengambil satu keluarga pelarian.
Pope Francis dalam ucapannya di St. Peter’s Square berkata, pihaknya sendiri akan menerima dua keluarga pelarian, tetapi tidak memberi maklumat lanjut.