Dalam temu bual dengan badan penyiaran Austria, ORK semalam, Orban mengulangi padangannya bahawa pendatang yang tiba dari zon krisis di Asia Barat, Afrika, dan Asia melarikan diri daripada kemiskinan dan bukan pelarian yang memerlukan perlindungan suaka politik.
Beliau berkata, pagar setinggi 3.5 meter sedang dibina di sepanjang sempadan dengan Serbia bagi menghalang kemasukan pendatang.
“Kami melindungi Eropah berdasarkan peraturan yang ada dan menyatakan sempadan hanya boleh dilalui di kawasan tertentu dalam keadaan terkawal selepas pendaftaran dibuat.
“Pagar tersebut yang tidak boleh dipecah masuk, jadi arahan untuk menembak penceroboh tidak diperlukan,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kesatuan Eropah (EU) perlu memberi bantuan kewangan kepada Turki dan negara bukan anggota untuk membantu mereka menangani kemasukan pendatang dan pelarian yang cuba ke rantau tersebut.
Beliau berkata, perbincangan kuota pengagihan pendatang antara 28 negara anggota EU masih terlalu awal untuk ditentukan kerana semua negara anggota blok itu masih belum mampu mempertahankan sempadan negara.
“Selagi Eropah tidak boleh melindungi sempadannya, tidak masuk akal untuk membincangkan nasib mereka yang datang ke sini.
“Lebih wajar jika EU menubuhkan satu dana yang dipersetujui negara-negara seperti Turki kerana kita boleh menyediakan bantuan sokongan untuk menangani masalah pendatang ke negara-negara lain,” jelas beliau. – Reuters