Wednesday 23 September 2015

Bayi kembar bergadai nyawa


Rentas Laut Aegean naiki bot untuk ke Greece
23 September 2015 1:16 AM


Mytilene, Greece 22 Sept. - Terdesak bagi mendapatkan perlindungan dan melarikan diri daripada konflik perang, sepasang ibu bapa Syria terpaksa menggadaikan nyawa bayi kembar mereka yang berusia lapan bulan untuk merentasi Laut Aegean bagi ke Greece dari Turki.
Walaupun sedar tentang risiko yang mungkin dihadapi termasuk lemas di laut, pasangan yang tidak dinamakan itu terpaksa berbuat demikian bagi memberi keselesaan hidup kepada anak mereka pada masa depan.
Untuk menempuh perjalanan membahayakan itu, seorang daripada mereka dibalut dengan selimut, sementara seorang lagi ditidurkan di dalam sebuah beg galas.
Bayi kembar berkenaan sekali-sekala terjaga daripada tidur.
Laut bergelora dan bot getah yang dinaiki mereka tidak mematahkan semangat ibu bapa pasangan kembar tersebut meneruskan perjalanan demi masa depan mereka sekeluarga.
Pasangan tersebut akhirnya boleh menarik nafas lega semalam, selepas perjalanan selama dua atau tiga hari itu berakhir apabila mereka selamat tiba di Pantai Eftalou berdekatan Pelabuhan Mytilene, Pulau Lesbos di Greece.
Laman web Daily Mail melaporkan, empat sekeluarga yang identiti mereka tidak didedahkan itu merupakan antara beratus-ratus pela­rian Syria yang cuba ke Greece sejak beberapa hari lalu, menggunakan kapal buatan sendiri atau bot getah.
Seorang pelarian Syria, Haseen yang juga berjaya menyeberangi laut tersebut untuk ke Greece memberitahu agensi berita ANA, dia dan keluarganya berdepan detik menakutkan apabila sebuah kapal yang tidak perasan kehadiran bot dinaikinya di lautan, hampir-hampir melanggar mereka.
“Keadaan ketika itu huru-hara. Kami cuba memberi isyarat kepada kapal itu menggunakan lampu pada telefon bimbit, tetapi kapal itu tidak perasan.
“Kami lupa tentang anak-anak kami. Kami juga tidak nampak mereka kerana keadaan amat gelap,” katanya.
Bagaimanapun, Haseen ber­syukur kerana mereka terselamat.
Menurut Pertubuhan Imigrasi Antarabangsa (IOM), sepanjang tahun ini, sejumlah 430,000 pelarian merentasi Laut Mediterranean untuk ke Eropah dengan 309,000 da­ripadanya selamat tiba di Greece.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bayi-kembar-bergadai-nyawa-1.139261#sthash.y59KO0uD.dpuf

No comments:

Post a Comment