Wednesday 23 September 2015

Pendatang beli pasport palsu Syria


23 September 2015 1:15 AM



VIENNA 22 Sept. – Penyeludup manusia dilapor mengambil kesempatan terhadap krisis pelarian apabila menjual pasport Syria palsu di Facebook kepada pendatang dari Afrika Utara dan negara Asia Barat lain yang mahu mencari pekerjaan di Eropah.
Akhbar The Telegraph melaporkan, perkara itu dikesan wartawannya yang menyamar sebagai pendatang Mesir selepas dia menghubungi nombor telefon yang diperoleh daripada satu akaun berbahasa Arab di Facebook, The Travellers’ Platform yang menawarkan khidmat menjual pasport palsu ­Syria pada harga hanya 1,000 pound (RM6,636.59).
Selain itu, penyeludup manusia berkenaan turut menawarkan perkhidmatan membawa pendatang dari Turki ke Greece pada harga 800 pound (RM5,309.27).
Operasi sindiket itu dikuatkan lagi dengan penahanan seorang anggota militan kumpulan militan Negara Islam (IS) dari Maghribi oleh polis Jerman baru-baru ini selepas dia didapati memiliki pasport palsu Syria.
Selain Syria dan Maghribi, pendatang dari negara lain yang turut memasuki Eropah datang dari Iraq, Sudan, Libya, dan Mesir.
Perkembangan baharu itu membuatkan rakyat Syria yang mahu mencari perlindungan di Eropah berang kerana mereka mungkin tidak berpeluang mendapat suaka politik jika ramai pelarian lain turut mengakui datang dari negara berkenaan.
Seorang doktor gigi dari Syria, Nizar Shoukry yang menetap di Croatia sejak 30 tahun lalu berkata, dia melihat ramai pendatang dari Afrika, Afghanistan, dan Pakistan yang mengakui berasal dari Syria, namun tidak boleh berbahasa Arab.
“Keadaan ini meresahkan saya kerana mereka telah menjejaskan peluang rakyat Syria yang betul-betul perlukan perlindungan di Eropah,” katanya.
Pengarah Eksekutif Frontex, sebuah agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU), Fabrice Leggeri berkata, ada sebahagian pendatang di Turki kini membeli pasport palsu Syria kerana tahu peluang mereka besar untuk mendapat perlindungan politik di Eropah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pendatang-beli-pasport-palsu-syria-1.139264#sthash.Sm1y541O.dpuf

No comments:

Post a Comment