Wednesday 23 September 2015

Menteri EU bincang krisis imigran


AFP - TENTERA Hungary dilihat memasang pagar bagi mengekang kemasukan imigran berhampiran sempadan dengan Croatia di Beremend kelmarin.


BUDAPEST – Menteri-menteri Dalam Negeri negara anggota Kesatuan Eropah (EU) mengadakan mesyuarat tergempar semalam bagi membincangkan krisis imigran, sehari selepas Hungary memberi kuasa drastik kepada tentera untuk mengawal sempadan negara itu.
Mesyuarat semalam menyaksikan menteri-menteri terbabit membincangkan kontroversi kuota wajib untuk menempatkan semula 120,000 pelarian ke seluruh EU dari beberapa negara utama selepas mereka gagal mencapai persetujuan minggu lalu. Satu persidangan tergempar EU juga akan diadakan bermula hari ini.
Sebelum mesyuarat tergempar semalam, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon merayu ketua-ketua 28 negara anggota EU agar ‘menonjolkan kepimpinan dan belas kasihan’ ketika benua ini bergelut dengan lambakan imigran, ramai daripadanya melarikan diri daripada konflik di Syria.
Ki-Moon berkata, beliau amat bimbang tentang situasi yang semakin buruk berikutan penutupan sempadan-sempadan di Eropah kekurangan kemudahan untuk menerima kemasukan pendatang baharu serta peningkatan tindakan menahan golongan pelarian.
Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras pula menyeru perkongsian tanggungjawab sambil menyatakan: “Jika tidak, tiada guna berbincang mengenai sebuah Eropah bersatu.”
Kenyataan berkenaan menyusul selepas Hungary memaklumkan menggunakan kuasa tentera bagi mengekang kemasukan imigran yang mahu bergerak ke Eropah utara.
Beratus ribu pelarian telah sampai ke Eropah barat tahun ini, meningkatkan tekanan ke atas negara-negara perantara sepanjang laluan imigran tersebut. Ada antaranya telah menutup sempadan, manakala yang selebihnya cuba mengalihkan aliran masuk ke negara lain.
Selepas menutup sempadannya dengan Serbia di sebelah selatan minggu lalu dan meluluskan beberapa undang-undang ketat antiimigran, Hungary kelmarin meluluskan perundangan tambahan bagi membolehkan penglibatan tentera dalam kawalan sempadan.
Perundangan baharu itu turut memberi kebenaran kepada tentera menggunakan peluru getah, gas pemedih mata dan senapang jaring di sempadan ‘dalam cara tidak membawa maut, kecuali jika ia tidak dapat dielakkan’.
Krisis tersebut telah menonjolkan jurang besar di dalam EU, khususnya antara negara bekas komunis di timur dan negara kaya di sebelah barat yang menjadi destinasi pilihan imigran. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0923&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mVY6Dd8C 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment