Saturday 24 October 2015

Kebanjiran imigran bagaikan tentera – PM Hungary


AFP - KIRA-KIRA 1,000 imigran diiringi polis Slovenia selepas menyeberang masuk ke negara itu dari Crotia dekat kampung Rigonce kelmarin.


BUDAPEST – Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban (gambar kecil) kelmarin mempertahankan pendirian kerasnya terhadap golongan pelarian apabila menyatakan 70 peratus pelarian ke Eropah terdiri daripada lelaki muda dan mereka kelihatan seperti pasukan tentera.
“Apa yang kita sedang hadapi bukannya krisis pelarian,” katanya ketika berucap dalam kongres Parti Rakyat Eropah yang menghimpunkan parti-parti konservatif dari seluruh Kesatuan Eropah (EU) di Madrid.
“Pergerakan penghijrahan ini merangkumi imigran ekonomi, pelarian dan juga pejuang asing. Proses ini tidak dikawal selia,” tambahnya.
Hampir 600,000 orang melarikan diri daripada perang dan kemiskinan dengan kebanyakan mereka ialah pelarian dari Syria yang tiba di Eropah sepanjang tahun ini untuk menuju ke Jerman dan Sweden.
Hungary menghadapi gelombang pelarian terbesar di Eropah itu dengan membina dua pagar besi di sepanjang sempadannya dengan Serbia dan Croatia dalam langkah yang dikritik ramai pemimpin Eropah.
“Pihak media kerap memaparkan imej wanita dan kanak-kanak sedangkan 70 peratus daripada imigran berkenaan terdiri daripada lelaki muda dan mereka kelihatan seperti pasukan tentera.
“Hanya kerana kita tidak menganggap mereka sebagai musuh, kita tidak boleh bertindak secara yang merugikan kita sendiri. Tanggungjawab kita ialah untuk mengembalikan
mereka ke negara asal masing-masing,” tambahnya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1024&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3pQqcrMD3 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment