Saturday, 24 October 2015

Konflik Syria: Siapa sokong siapa dan kenapa – Naza Juding

Published: 24 October 2015 7:00 AM

Konflik di Syria hari ini menyaksikan penglibatan pelbagai pihak. Kenapakah terdapat pihak yang menyokong rejim Bashar Al-Assad dan kenapakah terdapat pihak yang menyokong kumpulan pemberontak tertentu?


Penglibatan Amerika Syarikat (AS) di Syria adalah semata-mata berkaitan dengan strategi kepentingan geopolitik negara tersbut di rantau Asia Barat. Jika hendak dikatakan mengenai rekod hak asasi manusia, Presiden Bashar agak lebih terbuka berbanding rejim Syria sebelum ini di bawah penguasaan ayah beliau Hafez Al-Assad.
AS campur tangan di Syria untuk memastikan rejim baharu yang lebih condong kepada mereka bebanding Rusia. Syria di bawah Bashar juga mempunyai pertalian hubungan yang rapat dengan Iran. Semasa pemberontakan di Syria bermula, AS ketika tersebut sedang bertelagah dengan Iran mengenai program nuklear Tehran. Kerajaan Arab Saudi di bawah pemerintahan keluarga Ibn Saud memang memandang Iran sebagai ancaman terbesar kepada kuasa mereka. Program nuklear Iran mendorong Arab Saudi untuk menyokong sebarang tindakan yang boleh melemahkan Iran.
Ini termasuklah menggulingkan Bashar yang pro Iran dan juga menyokong pemberontak Sunni yang melancarkan serangan terhadap kerajaan Iraq yang didominasi oleh puak Syiah.
Hakikat Bashar berasal dari golongan Syiah Alawiyah dan rakyat Syria pula majoritinya addalah Sunni dieksploitasikan sepenuhnya oleh Arab Saudi dengan menggunakan suara-suara ulama mereka untuk menaikkan sentimen anti Assad bukan sahaja di kalangan penduduk Sunni di Syria malah di seluruh dunia Islam. Hasil daripada tindakan ini juga, orang Islam Melayu di Malaysia pun sudah terikut-ikut menyebut perihal Bashar seorang Syiah Alawiyah yang wajib dijatuhkan. Walhal, semasa pemerintahan Presiden Hafez Al-Assad sebelum ini tidak kedengaran pula ketidakpuasan hati mereka ini terhadap dominasi politik Syria oleh golongan Syiah Alawiyah. Walau apa pun, Arab Saudi melalui suara ulama mereka,  berjaya memaparkan situasi di Syria sebagai suatu perang jihad oleh Sunni melawan pemerintah Syiah yang zalim. Ini juga mendorong kebanjiran jihadi Sunni dari seluruh dunia ke Syria.


Iran sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan rejim Assad walaupun Syria ialah sebuah negara berbangsa Arab dan Iran pula sebuah negara bukan Arab iaitu Farsi. Semasa perang Iran-Iraq pada tahun 80an, kerajaan Syria yang berbangsa Arab memilih untuk berpihak kepada Iran yang berbangsa Farsi dan bukannya Iraq yang berbangsa Arab dan juga berideologi serupa iaitu Baathis (nasionalis Arab). Tidak dipastikan apakah sebabnya yang sebenar, tetapi rata-rata berpendapat ia berkaitan dengan persamaan mazhab agama Syiah mereka, walaupun mazhab Syiah Alawiyah sudah dianggap sesat dan terkeluar dari Islam oleh ulama Iran yang bermazhab Syiah Imamiah. Rejim Al-Assad juga sangat kuat mengamalkan sekularisme sehinggakan perkataan Alawiyah ini tidak pernah disebut di dalam media Syria. Ini penting kerana Alawiyah hanya membentuk 5% daripada keseluruhan penduduk Syria.  Suatu perkara yang membingungkan ramai orang Melayu Islam yang tidak begitu dalam pengetahuan agama Islam mereka ialah, kenapakah ulama Sunni di Syria seperti Sheikh Dr Said Ramadan Al-Buti memilih untuk bersama dengan Bashar. I ni adalah berkaitan dengan krisis yang dihadapi oleh umat Islam hari ini, iaitu perbezaan teologi di dalam mazhab Sunni itu sendiri. Kebanyakan pemberontak Sunni di Syria dipengaruhi oleh teologi Salafi yang didokong oleh ulama Arab Saudi.


Dr Said Ramadan Al-Buti yang disanjungi ramai di Malaysia (termasuk oleh arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pula mendokong teologi Asy'ari. Teologi Salafi menolak keras sesetengah kepercayaan yang terdapat di dalam ajaran Syiah dan juga Asy'ariyah, contohnya pemujaan yang berlebihan terhadap nabi dan para imam yang meninggal dunia. Perbuatan ini dianggap syirik (politheisme) oleh golongan Salafi. Inilah sebabnya terdapat ramai ulama Sunni aliran Asy'ari yang sanggup menyebelahi rejim Assad di dalam konflik Syria. – 24 Oktober, 2015. * Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/konflik-syria-siapa-sokong-siapa-dan-kenapa-naza-juding#sthash.aXK6hUS1.dpuf

No comments:

Post a Comment