Alex Assali mengedarkan makanan percuma kepada golongan gelandangan di Berlin, Jerman sebagai membalas jasa kerajaan dan rakyat negara itu kerana memberi perlindungan kepadanya sebagai seorang pelarian dari Syria. AGENSI
Menurut laporan portal Mail Online, Alex Assali, seorang pela­rian Syria yang berasal dari Damsyik, mendapat perlindungan di Jerman sejak 2007 selepas dia diburu kerana mengkritik kerajaan pimpinan Presiden, Bashar al-Assad.
Namun sejak menetap di Jerman, Assali bijak mengambil ke­sempatan untuk melahirkan rasa terima kasih terhadap negara Eropah ini apabila mengedarkan makanan percuma kepada golongan gelandangan di luar Stesen Kereta Api Alexanderplatz di Berlin pada setiap hari Sabtu.
Malah dia turut meletakkan papan tanda berbunyi, ‘Membalas jasa rakyat Jerman’, di depan pusat pengedaran makanan itu sehingga menarik perhatian ramai pihak termasuk pengguna sosial.
Selain itu, papan tanda ber­kenaan turut menjelaskan tujuan kebajikan tersebut dilakukan sebagai satu cara membantu golongan gelandangan dan pihak yang memerlukan di Jerman.
“Kami mahu menjadi sebahagian daripada masyarakat Jerman dengan cara yang positif.
“Objektif kami adalah untuk membalas semula jasa kepada rakyat yang membantu kami,” jelas papan tanda itu.
Gambar Assali sedang mengedarkan makanan kepada gelandangan tersebar dalam laman sosial Imgur, sekali gus mendapat reaksi positif orang ramai.
“Assali menunjukkan kemanusiaan yang sebenar,” kata seorang pengguna media sosial tersebut.