Friday 27 November 2015

Rusia serang kawasan penentang Syria


Lancar bedilan ke lokasi juruterbangnya ditembak mati
27 November 2015 1:06 AM



MOSCOW 26 Nov. - Tentera Rusia melancarkan serangan udara terhadap kawasan yang dikuasai kumpulan penentang Syria berdekatan sempadan Syria-Turki yang menjadi lokasi jet pejuang Sukhoi Su-24 ditembak jatuh oleh tentera Turki baru-baru ini.
Portal Mail Online melaporkan, serangan besar-besaran itu dilancarkan terhadap kumpulan Turk yang mendakwa menembak mati juruterbang jet milik Rusia itu ketika mangsa menyelamatkan diri menggunakan payung terjun selepas pesawat tersebut ditembak.
Kumpulan penentang kerajaan Syria itu turut menyiarkan satu rakaman menunjukkan mereka bersorak dan melaungkan ‘Allahu Akhbar’ ketika menemukan mayat Leftenan Kolonel Oleg Peshkov.
Presiden Rusia, Vladimir Putin hari ini mengesahkan bahawa seorang lagi juruterbang, Kapten Konstantin Murahtin diselamatkan oleh tenteranya selepas ope­rasi bersama kerajaan Syria selama 12 jam dan kini dibawa ke sebuah pangkalan tentera Rusia.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, sekurang-kurang­nya 12 serangan udara menyasarkan kawasan pedalaman Latakia ketika tentera kerajaan Syria bertempur dengan kumpulan penentang Turk dan Barisan Nusra di Jabal Akrad dan Jabal Turkman.
Seorang komander kumpulan Turk berkata, serangan peluru berpandu dilancarkan dari kapal perang Rusia di Laut Mediterranean juga mengenai kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ankara dan Moscow masing-masing menyalahkan antara satu sama lain berhubung kejadian jet pejuang ditembak jatuh berkenaan.
Murahtin dalam temu bual menafikan menerima sebarang amaran daripada juruterbang pesawat F16 milik Turki sebelum ditembak jatuh walaupun rakaman audio berhubung amaran dan pengesahan berkenaan disiarkan oleh tentera Amerika Syarikat (AS).
Beliau menafikan memasuki ruang udara Turki, malah pasti tidak menceroboh wilayah negara itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rusia-serang-kawasan-penentang-syria-1.162768#sthash.GgSk4XkI.dpuf

No comments:

Post a Comment