Thursday 3 December 2015

4,000 protes Britain bom Syria


AFP - SEORANG lelaki memegang pelekat bertulis “Jangan Serang Syria” ketika tunjuk perasaan terhadap tindakan ketenteraan Britain terhadap Syria di luar Dewan Parlimen di London kelmarin.


LONDON – Beribu-ribu penunjuk perasaan antiperang berhimpun di pusat bandar London kelmarin untuk menghalang Britain daripada menyertai serangan udara terhadap kumpulan militan Islamic State (IS) di Syria.
Protes tersebut diadakan sehari sebelum Parlimen Britain mengundi untuk meluluskan langkah itu.
Sekumpulan 4,000 orang berarak dari Dewan Parlimen di Westminster ke ibu pejabat parti pemerintah, Parti Konservatif dan juga pejabat parti pembangkang utama, Parti Buruh yang terletak berhampiran.
“Kami berhimpun untuk menyampaikan pesanan ringkas, Jangan bom Syria! Jangan lakukan apa yang kamu (kerajaan Britain) lakukan pada 2001, 2003 dan 2011.
“Jangan pergi mengebom sebuah negara yang mana tindakan itu akan memburukkan lagi peperangan di sana,” kata pemimpin aktivis Pakatan Hentikan Pe­perangan, Lindsey German, merujuk kepada pengli­batan Britain dalam pepe­rangan di Afghanistan, Iraq dan Libya.
Parlimen Britain dilihat cenderung mengundi untuk menyertai kempen pengeboman terhadap IS di Syria semalam.
Jika usul tersebut diluluskan, jet-jet pejuang Bri­tish akan menyertai sera­ngan udara di Syria dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Terdahulu, Perdana Menteri Britain, David Cameron menegaskan tindakan ketenteraan diperlukan bagi membendung keganasan seperti serangan yang meragut nyawa 130 orang di Paris pada bulan lalu.
Namun, ramai ahli politik mempersoalkan langkah tersebut yang dianggap tidak efektif tanpa serangan darat di samping tindakan itu juga dianggap boleh menghalang penyelesaian diplomatik berhubung krisis di Syria. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3tDZCnIE8 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment