Sunday 20 December 2015

Bashar perlu letak jawatan


GAMBAR fail menunjukkan seorang kanak-kanak cedera selepas rumahnya di kawasan kejiranan Douma di Damsyik dibom oleh tentera Bashar pada 29 November lalu.- REUTERS


WASHINGTON – Presiden Barack Obama kelmarin menegaskan semula desakan Amerika Syarikat (AS) yang mahu Presiden Syria, Bashar Al-Assad meletak jawatan serta mengingatkan bahawa negara itu tidak akan mencapai keamanan tanpa sebuah kerajaan sah.
“Saya fikir Assad perlu pergi jika negara itu mahu menamatkan pertumpahan darah serta bagi memboleh­kan semua pihak terlibat bergerak ke depan tanpa ada perbezaan mazhab. Beliau telah hilang mandat pada mata rakyat negara itu,” katanya pada satu sidang akhbar akhir tahun di sini.
Ucapan Obama itu dibuat ketika Setiausaha Negara AS, John Kerry dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov mengadakan mesyuarat dengan menteri-menteri luar lain di New York bagi membincangkan penyelesaian politik kepada pepera­ngan selama lima tahun di Syria.
Satu draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibentangkan di Majlis Keselamatan PBB petang kelmarin untuk menyeru rundingan damai dimulakan pada awal bulan hadapan.
Obama menyatakan ‘mustahil’ baginya membiarkan Assad kekal berkuasa selepas beliau memilih untuk ‘membunuh’ rakyatnya sendiri daripada memilih transisi politik yang inklusif.
“Akibatnya, pandangan kami adalah kamu tidak mampu membawa keamanan kepada Syria, kamu tidak dapat menamatkan perang saudara kecuali kamu mempunyai sebuah kerajaan yang diperakui sah oleh majoriti rakyat, ini tidak akan berlaku,” ujarnya.
BASHAR


Beliau memaklumkan usaha Kerry di New York menawarkan ‘satu peluang’, bukannya untuk menterbalikkan masa kerana sukar untuk mengatasi sepenuhnya kemusnahan yang sudah berlaku di Syria.
“Gencatan senjata itu bukannya sempurna tetapi akan membolehkan semua pihak memberi perhatian kepada perkara yang sepatutnya diutamakan iaitu memusnahkan kumpulan Islamic State serta sekutu-sekutunya di rantau tersebut,” tegas Obama. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3uo8WEILp 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment