Sunday 20 December 2015

Serangan udara Rusia ragut 32 nyawa

HAFEZDZULLAH HASSAN

 Petugas kecemasan membantu seorang lelaki yang cedera selepas pesawat rejim Bashar dan Rusia membedil sebuah pasar di Douma, tengah Damsyik September lalu.

BEIRUT - LEBANON. Satu serangan udara dilancarkan jet Rusia di utara Syria Khamis lalu, meragut sekurang-kurangnya 32 nyawa penduduk awam.
Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria mendakwa, sebahagian besar mangsa yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.
Pengarahnya, Rami Abdel Rahman berkata serangan terbabit disasarkan di Raqqa serta beberapa kawasan disyaki tempat persembunyian kumpulan militan IS di bandar Azaz dan al-Bab di wilayah Aleppo.
"Enam kanak-kanak dan 11 wanita adalah antara mereka yang terkorban dalam serangan udara di Raqqa, manakala berpuluh lagi cedera.
"Serangan dahsyat di bandar itu turut mengorbankan dua anggota penyelamat," kata Rami kepada  Arab News.
Rusia telah menjalankan kempen serangan udara memerangi militan IS di Syria sejak tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, kempen tersebut telah dikritik oleh Barat dan pemberontak kerana menyebabkan lebih ramai penduduk awam menjadi mangsa.
Menurut Rami lagi, sekurang-kurangnya 1,900 orang termasuk 635 orang awam terbunuh sejak Moscow menghantar pesawat pengebom mereka ke Syria pada akhir September lalu. Angka kematian itu termasuk aktivis, pekerja perubatan serta pejuang Syria.

No comments:

Post a Comment