Ahmad Salman Abdul Rahim, 40, pemuda yang berasal dari Parit Buntar, Perak semalam adalah yang terbaharu dilaporkan terbunuh dalam serangan berkenaan.
Malah, daripada jumlah itu, pihak keselamatan negara merekodkan seramai 18 rakyat negara telah terbunuh sama ada ketika menyertai peperangan atau menjadi pengebom berani mati.
Kematian Ahmad Salman yang dikenali sebagai ‘Abu Suleiman’ itu dilaporkan Utusan Malaysia semalam selepas dia menyertai skuda Inghimas yang dipercayai satu kumpulan yang ditubuhkan untuk melakukan serangan nekad terhadap Lapa­ngan Tentera Udara Kuwayris di wilayah Allepo.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawang­an Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih tiada pengesahan tentang kematian terbaharu melibatkan Ahmad Salman.
“Kita tidak dapat mengesahkan tentang kematian atau serangan yang dilakukan individu warganegara Malaysia itu kerana kita tiada kaedah tertentu yang mengesahkan tragedi yang berlaku di negara asing itu.
“Namun kita sedang berusaha mencari maklumat tentang perkara itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan menyatakan, 18 rakyat negara telah terbunuh selepas menyertai konflik peperangan di negara bergolak dan masih ada sekurang-kurangnya 46 orang lagi yang masih hidup.
“Maklumat risikan mendapati seramai 72 rakyat negara ada di negara itu,” ujarnya.
Ditanya tentang Ahmad Salman itu, Ayob Khan memberitahu, individu itu sememangnya keluar dari negara untuk menyertai peperangan di Syria.
“Individu itu telah pergi ke Syria pada 31 Januari 2014 dan selepas keluar dari negara menaiki kereta api dari Malaysia ke Thailand. Dia kemudian terbang dari Myanmar ke Nepal, India dan Jordan seterusnya menyusup masuk melalui sempadan Jordan.
“Pada peringkat awal, dia menyertai kumpulan Ajnad Al-Syam untuk bersama Allahyarham Ustaz Mohd. Lofti Ariffin tetapi sejurus Mohd. Lofti meninggal dunia, risikan mendapati dia kemudian keluar dari kumpulan itu dan menyertai IS,” katanya.
Tambah Ayob Khan, sumber risikan juga mendapati, Ahmad Salman yang berkelulusan dari United Kingdom telah berkahwin dan mempunyai anak ketika sedang ‘berjuang’ di Syria.
“Dia telah menyertai satu skuad tempur khas iaitu skuad barisan hadapan yang dikenali sebagai Inghimas dan maut dalam pertempuran itu selepas menyerang satu kem Tentera Udara Kuwayris,” jelasnya.