Saturday 13 February 2016

Erdogan mahu hantar berjuta-juta pelarian ke EU


BEBERAPA pelarian Syria menuju ke Turki melalui pintu sempadan Bab Al-Salam di Aleppo, Syria pada Rabu lalu. - REUTERS


ANKARA – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengugut akan menghantar berjuta-juta pelarian di Turki ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU) ketika Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berjanji mengerahkan kapal-kapalnya ke Laut Aegean bagi meringankan beban Ankara menangani krisis pelarian.
Erdogan meningkatkan kecamannya terhadap dasar Barat menangani isu pelarian dalam ucapannya di Ankara kelmarin. Beliau mengakui pernah mengugut kepimpinan EU dalam satu sidang kemuncak pada November lalu bahawa Turki boleh mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada golongan pelarian.
EU kini semakin bimbang berhubung beribu-ribu pelarian dari Syria, Afghanistan, Iraq dan negara Afrika lain yang menyeberangi Laut Aegean dari Turki pada setiap hari untuk menuju ke Eropah. Pada 2015, lebih sejuta imigran itu melakukan perjalanan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, NATO bersetuju menghantar beberapa kapal perangnya ke Laut Aegean bagi menum­paskan sindiket-sindiket penyeludupan manusia yang membawa pelarian itu, manakala Greece pula menimbang untuk menghantar pulang pelarian yang diselamatkan di perairannya ke Turki.
Turki yang menempatkan kira-kira tiga juta pelarian kini menerima tekanan EU dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima berpuluh-puluh ribu pela­rian Syria yang melarikan diri daripada pertempuran di bandar Aleppo.
Erdogan bagaimanapun berkata, Turki berhak mengusir pelarian itu jika ia mahu berbuat demikian.
“Tiada perkataan ‘bodoh’ tertulis di dahi kami. Kami akan bersabar tetapi kami akan melakukan apa yang perlu. Jangan fikir bas dan pesawat kami disimpan begitu sahaja,” kata Erdogan.
Terdahulu, laman web Greece, euro2day.gr me­laporkan bahawa Erdogan akan menggunakan kenderaan tersebut untuk menghantar pelarian di Turki ke sempadan Greece dan Bulgaria.
Beliau berang kerana EU bersikap cuci tangan dan meletakkan beban menangani kebanjiran pelarian kepada Turki. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz401AW8Pfw 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment