Saturday 13 February 2016

Perang dunia jika gagal tamat konflik Syria - Russia

PERDANA Menteri Russia, Dmitry Medvedev. - Foto Reuters
MUNICH: Perdana Menteri Russia, Dmitry Medvedev memberi amaran perang dunia bakal berlaku jika negara kuasa besar gagal dalam rundingan menamatkan konflik di Syria dan jika tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat (AS) berhasrat melakukan operasi darat.
Medvedev ketika ditemuramah akhbar Jerman, Handelsblatt berkata, AS dan Russia perlu memberi tekanan kepada semua pihak dalam usaha melaksanakan gencatan senjata.
Ketika ditanya hasrat Arab Saudi minggu lalu untuk mengerahkan tentera darat dalam operasi pakatan memerangi militan IS, Medvedev berkata, ia adalah sesuatu yang tidak baik dan kebiasaannya serangan darat mampu bertukar menjadi perang yang kekal.
"Lihat saja apa yang berlaku di Afghanistan dan beberapa negara lain. AS dan rakan Arab perlu berfikir dengan baik, adakah mereka mahukan peperangan yang kekal.
"Agak sukar untuk menang peperangan dalam tempoh yang cepat terutama negara Arab yang sering bertelagah antara mereka. Semua pihak perlu dipaksa duduk di meja rundingan bukannya memulakan perang dunia baharu," katanya.
Russia melancarkan beberapa siri serangan udara di sekitar bandar utama Aleppo, dalam usaha membantu kemaraan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad. Serangan udara turut dilakukan AS dan tentera udara negara Barat lain di utara Syria. - Reuters

No comments:

Post a Comment