Monday 1 August 2016

Syria gesa PBB ambil tindakan ke atas tentera perikatan


31 Julai 2016 12:43 AM

Gambar yang diedarkan kumpulan hak asasi Save The Children merakamkan

Gambar yang diedarkan kumpulan hak asasi Save The Children merakamkan orang ramai berhimpun di sekitar hospital bersalin yang rosak teruk dalam serangan udara di bandar Kafar Takharim, Idlib pada 28 Julai lalu. AFP
DAMSYIK 30 Julai – Syria menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan segera ke atas tentera perikatan diketuai Amerika Syarikat (AS) selain menghalang tentera perikatan meneruskan serangan udara di Asia Barat.
Portal Press TV melaporkan, ini berikutan serangan udara tentera pakatan yang meragut nyawa lebih 40 orang awam di bandar Manbij, utara Syria, kelmarin.
Dalam dua surat berasingan yang dihantar kepada Setiausaha Agung badan dunia itu, Ban Ki-moon dan Presiden Majlis Ke­selamatan PBB, Koro Besso, Kementerian Luar Syria mengecam serangan Amerika yang disifatkan sebagai ‘kejam’ ke atas orang awam, selain menggesa pihak bertanggungjawab didakwa.
Surat itu ditulis selepas jet AS melancarkan serangan di bandar Ghandour iaitu 23 kilometer dari bandar Manbij, wilayah Aleppo.
Sekurang-kurangnya 45 orang awam terbunuh, manakala 50 orang lagi cedera dalam serangan tersebut.
Kementerian Luar Syria turut menyamakan serangan itu de­ngan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan kumpulan-kumpulan pengganas di Syria, dengan menyifatkan kedua-dua pihak cuba memburukkan lagi keadaan di negara ini.
Syria turut menggesa Majlis Keselamatan PBB menguatkuasakan resolusi antikeganasan terhadap negara yang menyokong keganasan.
Syria mendakwa mereka tidak akan berhenti memerangi keganasan ketika meneruskan usaha penyelesaian politik bagi menamatkan konflik di Syria tanpa campur tangan asing.
Serangan itu berlaku selepas sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan cedera dalam serang­an udara tentera AS di Kampung al-Nawajah, timbur bandar Manbij pada 23 Julai lalu.
Setakat ini 120 dilaporkan terbunuh sejak AS melancarkan serangan di Manbij beberapa hari lalu bagi memburu pengganas Daesh.
Dalam perkembangan ber­asingan, sekurang-kurangnya dua maut dan beberapa orang termasuk bayi cedera dalam serangan udara di sebuah hospital bersalin di wilayah Idlib.
Badan pemantau hak asasi Sy­ria berkata, hospital yang terletak di bandar Kafar Takharim rosak teruk dan hampir sukar berope­rasi, lapor portal Al-Jazeera.
Menurut pertubuhan Save the Children yang membantu hospital itu, serangan tersebut mengenai bahagian hadapan bangunan hospital ketika dua pembedahan sedang dijalankan, manakala seorang wanita berada di bilik bersalin.
“Beberapa orang bayi turut cedera apabila inkubator yang digunakan mereka jatuh ke lantai, manakala seorang ibu yang sedang mengandung enam bulan cedera teruk di kaki,” tambh ke­nyataan pertubuhan itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/syria-gesa-pbb-ambil-tindakan-ke-atas-tentera-perikatan-1.364171#sthash.8abbIMpm.dpuf

No comments:

Post a Comment