Monday 1 August 2016

Syria tawar ampunkan pemberontak




Kemusnahan teruk bandar raya Alellpo di utara Damsyik menyebabkan ia tidak lagi sesuai didiami dengan kemudahan asas musnah sepenuhnya. - Foto REUTERS
AFP
Damsyik: Presiden Syria, Bashar al-Assad, hari ini menawarkan pengampunan kepada pemberontak yang menentang tenteranya jika mereka menyerah diri.

Agensi berita rasmi Syria, SANA, memetik Bashar sebagai berkata: “Setiap orang yang mengangkat senjata dan diburu undang-undang akan dikecualikan daripada sebarang hukuman jika mereka menyerah diri dan meletak senjata.”

Pengisytiharan pengampunan oleh Bashar yang menawarkan tempoh tiga bulan untuk menyerah diri itu juga membabitkan pemberontak yang membebaskan tebusan walaupin seorang tebusan.

Tawaran pengampunan itu dibuat ketika bandar raya Aleppo sedang dikepung oleh tentera pro-kerajaan menyebabkan lebih 200,000 penduduk kini terperangkap.

Sekutu Bashar, Russia melancarkan operasi serangan besar-besaran mulai hari ini dengan tentera kerajaan untuk membuka laluan bagi membolehkan orang awam melepaskan diri dari bandar raya itu.

Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu, berkata tiga laluan dibuka bagi membolehkan ‘orang awam yang dijadikan tebusan oleh pengganas’ melarikan diri serta pemberontak keluar menyerah diri bersama senjata masing-masing.

Bashar sudah beberapa kali menawarkan pengampunan sejak beberapa tahun lalu, termasuk pada Julai 2015.

Lebih 280,000 orang sudah terbunuh sejak perang tercetus pada Mac 2011 manakala jutaan lagi menjadi pelarian.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 6:01 PM

No comments:

Post a Comment