Saturday 10 September 2016

AS, Russia setuju gencatan senjata di Syria - Kerry

SABTU, 10 SEPTEMBER 2016 @ 7:06 AM


SETIAUSAHA Negara AS, John Kerry (kiri) dan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov. - Foto AP

GENEVA: Amerika Syarikat (AS) dan Russia hari ini bersetuju dengan pelan menguatkuasakan gencatan senjata dalam perang saudara Syria dan melaksanakan asas ke arah proses damai, kata Setiausaha Negara AS, John Kerry.

Mengumumkannya bersama Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov selepas perbincangan sehari suntuk di Geneva, Kerry berkata, beliau percaya rancangan itu akan menjurus kepada perbincangan untuk 'menghentikan konflik' di Syria.

 Menerusi persetujuan itu, gencatan senjata dirancang bermula awal minggu depan, disusuli pembentukan baharu kerjasama tentera dengan pihak yang memerangi Kumpulan Negara Islam (Daesh) dan Al-Qaeda. Kerry berkata, pelan damai itu mampu mengurangkan keganasan di Syria dan membawa kepada peralihan politik sekali gus mengakhiri pertumpahan darah yang berlarutan lebih lima tahun di Syria.

Beliau menyifatkan persetujuan itu satu "titik perubahan" dalam konflik di Syria sekiranya dilaksanakan oleh kerajaan Syria yang disokong Russia dan kumpulan pemberontak yang disokong AS.

 "Gencatan senjata akan bermula sebaik matahari terbenam pada Isnin," kata Kerry ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha pada hari berkenaan.

Sementara itu, rakan rundingan Kerry, Lavrov, mengesahkan perjanjian itu dan berkata ia akan membantu melebarkan usaha memerangi pengganas dan mengagihkan bantuan untuk orang awam Syria. Beliau berkata, kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar Assad bersedia untuk melaksanakan gencatan senjata itu. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/191433

No comments:

Post a Comment