DAMSYIK - Presiden Bashar Assad mendakwa, senjata pertahanan peluru berpandu S-300 dari Rusia sudah berada tiba di Damsyik, Syria, semalam.

“Peluru berpandu S-300 ini hanya akan dilancarkan sekiranya kami mendapat ancaman daripada Israel atau sekutunya,” katanya dalam siaran berita  stesen televisyen Al-Manar milik kumpulan gerakan Hizbullah.

Kelmarin,  Kumpulan Tentera pembebasan (FSA) memberi tempoh 24 jam supaya gerakan Hizbullah dan Rusia segera berhenti berjuang dan membekalkan senjata kepada tentera rejim.

Sementara itu, Menteri Luar Syria, Walid al-Moallem memohon jaminan negara antarabangsa supaya tidak campur tangan dalam sebarang keputusan bakal dicapai dalam rundingan damai ketika persidangan persidangan antarabangsa di Geneva bulan depan.

Beliau berkata, sebarang perjanjian atau keputusan bakal dicapai nanti perlu mendapat persetujuan Presiden Bashar Assad memandangkan beliau masih kekal sebagai Presiden sehingga pilihan raya tahun depan.

“Keadaan di Syria semakin rumit akibat campur tangan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Sekiranya kedua-dua negara ini terus bergabung dengan FSA, maka rundingan keselamatan untuk membentuk pentadbiran negara  baru sukar dilakukan,” katanya kepada AP.

Menurutnya, rejim Assad pada dasarnya bersetuju menghadiri rundingan damai itu tetapi sekiranya terdapat campur tangan negara luar, maka rundingan itu akan dibatalkan dengan segera.