Wednesday 29 May 2013

Syria didakwa guna senjata kimia


PARIS 27 Mei - Akhbar Perancis, Le Monde hari ini mendakwa tentera Syria menggunakan senjata kimia bagi menentang pemberontak di pinggir bandar raya Damsyik.
Akhbar itu membuat dakwaan tersebut selepas memetik kenyataan dua kakitangannya yang membuat liputan di Syria pada bulan lalu dan awal bulan ini.
Seorang daripada wartawan itu, Jean-Philippe Remy mendakwa dia menyaksikan sendiri penggunaan senjata kimia selama beberapa hari ke atas pemberontak di perkampungan Jobar, pinggir Damsyik.
Jurugambar Laurent Van der Stockt, pula mendakwa pada 13 April lalu, dia melihat anggota pemberontak mengalami sesak nafas dan muntah-muntah selepas satu serangan senjata kimia dilancarkan di kampung itu.
Kedua-dua wartawan itu telah mengumpulkan saksi yang menyaksikan penggunaan senjata kimia di kawasan yang besar di sekitar Damsyik, selain kenyataan seorang doktor yang menyatakan senjata tersebut menyebabkan kesukaran bernafas, sakit kepala serta loya dan boleh membawa maut jika tidak dirawat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130528/lu_07/Syria-didakwa-guna-senjata-kimia#ixzz2UexcHl6q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment