Washington: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan memberitahu sebuah stesen televisyan AS, dia percaya Syria menggunakan senjata kimia ke atas musuh Presiden Bashar al-Assad.
“Adalah jelas rejim itu menggunakan senjata nuklear dan misilnya,” katanya kepada NBC News malam kelmarin.
Bagaimanapun, Recep tidak mendedahkan sebarang butiran mengenai kenyataannya itu, termasuk bila atau di mana ia berlaku. Kata Recep, Damsyik sudah melepasi ‘batasan’ yang dimaklumkan Rumah Putih sejak lama dulu.
Justeru, katanya, AS perlu mengambil tindakan lebih tegas ke atas Bashar. “Turki mahu AS lebih bertanggungjawab dan bertindak lebih jauh.
“Apakah langkah yang akan mereka ambil? Kami akan membincangkannya,” katanya. Recep dijadual bertemu dengan Presiden AS, Barack Obama, pada 16 Mei ini.
Menurut Recep, mangsa perang yang dibawa ke hospital di sepanjang sempadan Turki menunjukkan mereka mengalami kesan daripada senjata kimia.
Katanya, ‘serpihan misil’ yang digunakan dalam serangan itu juga ditemui di beberapa tempat. Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu berkata, pihak berkuasa menjalankan ujian darah pada mangsa perang yang masuk ke negara itu.
Katanya, ujian itu dapat memastikan sama ada senjata kimia memang digunakan rejim Bashar atau sebaliknya. “Berpuluh-puluh keputusan ujian perlu dikaji dengan lebih lanjut dan diberi perhatian serius.
“Ujian itu masih berjalan dan keputusannya akan didedahkan sebaik saja ia selesai,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment