Admin sebelum ini menyiarkan berita sokongan parti Islam Mesir, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sayap politik yang ditubuhkan oleh Ikhwan Muslimin yang mengadakan demonstrasi demi demonstrasi membantah kezaliman Bashar.
Berlainan pula pendirian dengan kumpulan sekular dan anti-Islam yang berhaluan kiri. Mereka bukan sahaja tidak menyokong kebangkitan rakyat Syria bahkan menyokong rejim Bashar melalui kunjungan rasmi kepada rejim itu. (gambar)
Lawatan yang diadakan pada 11 Februari 2013 itu diketuai oleh Setiausaha Agung Parti Nasser, Ahmed Hassan (gambar kecil) dan Ibraheem Badrawi, Presiden Gerakan Berhaluan Kiri Mesir.
Parti Nasser adalah nama yang diberikan bersempena nama bekas Presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser yang terkenal dengan perjuangan sosialis. Ketika pemerintahannya, Nasser banyak menekan gerakan Islam Mesir khasnya Ikhwan Muslimin. Ramai golongan ulama' dijatuhkan hukuman gantung pada zamannya, antaranya ialah Syed Qutb. Nasser pernah melakukan operasi ke atas anggota Ikhwan Muslimin pada satu malam dengan penangkapan 17,000 orang.
Dalam lawatan itu, mereka telah mengunjungi beberapa orang menteri Bashar termasuk Speaker Dewan Rakyat Syria, Mohammed Jihad El-Laham.
Menurut delegasi sekular Mesir itu, mereka mengunjungi Syria bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan Syria yang "ditekan akibat provokasi luar yang mahu menjatuhkan Bashar" demikian dilaporkan televisyen milik kerajaan Syria.
Mereka turut bertemu dengan Menteri Penerangan kerajaan Bashar, 'Emran Az-Za'by. Bercakap kepada media Syria, ketua delegasi golongan sekular Mesir, Ahmed Hassan mendakwa, apa yang terjadi di Syria tiada kaitan langsung dengan "Arab Spring" serta kesatuan yang ditunjukkan oleh tentera serta rakyat Syria bagi berdepan dengan kumpulan pemberontak adalah bukti Syria tidak mampu digugat.
Parti politik Islam Mesir mengulas lawatan kumpulan sekular ini sebagai mengejutkan. Pendirian mereka juga berbeza dengan sikap Presiden Mesir, Dr.Mohammad Morsi yang lantang mengkritik Syria termasuk sewaktu menyampaikan ucapan di Sidang Negara-negara Berkecuali (NAM) di Tehran Ogos tahun lalu yang memaksa delegasi Syria angkat kaki dari dewan persidangan kerana panas telinga.
Pendirian Morsi sama dengan Erdorgan, Perdana Menteri Turki. Hingga hari ini, pelarian Syria yang menjangkau 1.6 juta orang memilih Mesir dan Turki sebagai tempat perlindungan mereka selepas negara-negara Teluk seperti UAE menutup pintu buat pelarian Syria.
Cuma tindakan Mesir dan Turki amat terbatas dalam mempertahankan rakyat Syria TERMASUK masih belum mampu menghantar bantuan ketenteraan ke Syria. Ini kerana Majlis Keselamatan PBB dan dunia boleh mengugut mereka sebagai "cuba campurtangan urusan negara lain". Ditambah lagi dengan pergolakan dalam tanah air masing-masing yang dicetuskan oleh kumpulan anti-Islam di Mesir dan Turki yang mahu menggulingkan kerajaan pilihan rakyat.
Tambahan bagi Mesir, mereka bukan sahaja berhadapan dengan rakyatnya yang berfahaman sekular tetapi 'tangan-tangan luar' dari Israel, Amerika dan negara-negara Arab yang bimbang kepada kebangkitan rakyat akan meniru Mesir, lalu mereka akan kehilangan kuasa seperti Mubarak.
No comments:
Post a Comment