Sunday 11 August 2013

20 korban serangan udara rejim Bashar di Syria

FOTO agensi berita Syria, SANA menunjukkan beberapa buah kereta kebal diletakkan di tepi jalan sebelum meneruskan perjalanan ke wilayah Latakia untuk memburu kumpulan penentang rejim Bashar.


BEIRUT - Serangan udara oleh tentera Syria mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang di wilayah barat laut Latakia, Syria, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia negara itu semalam.
"Angka kematian dalam beberapa serangan udara di bandar Salma dalam daerah Jabal Akrad telah meningkat kira-kira 20 orang," kata pengarah kumpulan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman kepada agensi berita AFP.
Rami berkata, 10 mangsa yang maut dipercayai orang awam dan kebanyakan mayat gagal dikenal pasti.
Tambahnya, sekurang-kurangnya enam yang terbunuh merupakan pejuang penentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad manakala empat lagi sukarelawan asing.
"Jumlah kematian dijangka meningkat kerana terdapat ramai mangsa cedera parah," kata Rami.
Wilayah Latakia merupakan kubu kuat minoriti penganut muslim berfahaman Syiah Alawi.
Bashar merupakan penganut Islam fahaman Syiah Alawi.
Dalam tempoh beberapa hari, kumpulan penentang telah menawan sejumlah kampung di Jabal Akrad, sebuah daerah berbukit di utara Latakia.
Menurut kumpulan pemerhati, tentera rejim Bashar menyerang kembali wilayah itu hingga mencetuskan pertempuran sengit dan mengakibatkan berpuluh-puluh maut di kedua-dua pihak. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0811&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2bcZmWkGV 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment