Tuesday 8 October 2013

Kerry puji Bashar patuhi janji


 
Damsyik: Presiden Syria, Bashar al-Assad boleh dipuji kerana bertindak segera untuk memusnahkan simpanan senjata kimianya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry memberi pandangan itu selepas pakar senjata mula memusnahkan senjata haram berkenaan.
Pemusnahan itu yang dilakukan petugas Syria dengan kendalian pakar pelucutan senjata antarabangsa, adalah mengikut syarat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya Damsyik menyerahkan simpanan senjata berkenaan.

“Proses berkenaan sudah bermula dalam masa singkat dan kami menghargai kerjasama Russia selain Syria yang akur kepadanya,” kata Kerry kepada wartawan bersama Menteri Hal Ehwal Luar, Sergey Lavrov di bandar Nusa Dua.

Senjata dimusnahkan

“Apa yang penting ialah, semalam, pada hari Ahad seminggu selepas resolusi PBB itu diluluskan, ada senjata kimia yang dimusnahkan,” katanya.

Syria bersetuju menyerahkan simpanan senjata kimianya bulan lalu selepas resolusi berkenaan diluluskan bulan lalu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Syria dipercayai memiliki 1,000 tan gas sarin, gas ‘mustard’ dan racun lain yang perlu dimusnahkan pada pertengahan tahun depan.

Ketika pemusnahan itu dilakukan, Assad mengakui dalam satu wawancara bahawa kerajaannya melakukan beberapa kesalahan dalam konflik itu.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi menafikan tentera kerajaan menggunakan senjata kimia itu dalam konflik.

Serangan pada 21 Ogos lalu itu menyebabkan Amerika turut diancam akan diserang sebelum PBB mengeluarkan resolusi mengarahkan Syria menyerahkan simpanan senjata itu.
AFP

No comments:

Post a Comment