Saturday 8 February 2014

2 pasar raya besar dibuka di khemah pelarian Syria




Dua wanita pelarian Syria sedang memerhatikan barangan yang dijual di sebuah pasar raya besar yang baru dibuka di khemah pelarian Zaatari, kira-kira 13 kilometer dari sempadan Jordan dan Syria, kelmarin. - AGENSI
AMMAN 7 Feb. - Sebanyak dua pasar raya besar dibuka di kawasan khemah pelarian Syria di Jordan, semalam.
Kedua-dua pasar raya itu dibuka di khemah pelarian Zaatari yang terletak kira-kira 13 kilometer dari sempadan Jordan dan Syria.
Pembukaan pasar raya itu membolehkan kira-kira 100,000 pelarian Syria yang ditempatkan di situ untuk membeli barangan, sekali gus mengembalikan semula kehidupan normal kepada mereka.
Pembukaan pasar raya itu disambut baik oleh Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) kerana ia merupakan satu cara untuk mengagihkan barangan catuan.
Setiap pelarian akan diberikan baucar bernilai 18 dinar Jordan (RM83) setiap bulan bagi membolehkan mereka membeli barangan makanan, selain barangan catuan.
Sebuah daripada pasar raya itu, Safeway Jordan, dimiliki sebuah syarikat milik Kuwait, Sultan Centre.
Dalam tempoh beberapa minggu lagi, WFP difahamkan akan mengurangkan komoditi makanan di pusat itu dan menaikkan nilai baucer secara berperingkat-peringkat sehingga khemah berkenaan dibantu sepenuhnya menerusi baucer makanan bernilai 24 dinar Jordan (RM112) setiap orang, sebulan.
Sebanyak AS$500,000 (RM1.6 juta) diperlukan untuk membiayai kos makanan di khemah pelarian itu setiap hari dengan setengah juta keping roti dan 4.2 juta liter air diedarkan setiap hari.
PBB, semalam menyambut baik gencatan senjata yang dicapai di bandar Homs bagi membolehkan penduduk di situ dipindahkan dan bantuan kemanusiaan diagih-agihkan kepada mereka.
''PBB dan badan-badan kemanusiaan mempunyai bekalan makanan, perubatan dan barangan keperluan asas lain untuk dihantar segera kepada penduduk di Homs, sementara menunggu 'lampu hijau' diberikan,'' kata jurucakap PBB, Farhan Haq dalam satu kenyataan. - AGENSI/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140208/lu_10/2-pasar-raya-besar-dibuka-di-khemah-pelarian-Syria#ixzz2sg1S6PBT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment