Saturday 30 August 2014

Angka pelarian Syria cecah 3 juta



SEJUMLAH pelarian Syria menunggu untuk memasuki sempadan Lebanon di bandar Majdel Anjar dekat sempadan kedua-dua negara pada 8 Ogos lalu.


GENEVA - Perang saudara di Syria memaksa tiga juta orang menjadi pelarian di luar negara manakala lebih sejuta penduduk meninggalkan negara itu sejak setahun lalu, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
"Tragedi ini mencapai tahap baharu apabila seorang dalam setiap lapan warga Syria telah lari menyeberangi sempadan dan 6.5 juta lagi menjadi pelarian di negara sendiri sejak perang saudara tercetus pada Mac 2011," kata agensi berkenaan yang beribu pejabat di sini.
"Krisis Syria menjadi darurat kemanusiaan terbesar sekarang tetapi dunia gagal memenuhi keperluan pelarian di negara yang menerima mereka, kata Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian PBB, Antonio Guterres dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Syria mempunyai seramai 23 juta penduduk sebelum perang meletus.
Pertempuran di negara itu kini semakin sengit di sebalik situasi penuh terdesak yang menghimpit pelarian Syria, menurut kenyataan sama.
Keadaan di Syria semakin meruncing selepas kumpulan militan Negara Islam (IS) meluaskan penguasaannya melepasi sempadan Syria-Iraq dan melakukan keganasan terhadap pihak lawan serta penduduk awam.
Menurut agensi berkenaan, ramai pelarian baharu yang tiba di Jordan datang dari wilayah Aleppo di utara Syria selain rantau Raqqa yang terletak di timur laut negara itu.
Raqqa merupakan kubu kuat IS.
Di timur Jordan, kata agensi PBB tersebut, pelarian yang merentasi gurun dipaksa membayar wang AS$100 (RM316) setiap seorang kepada kumpulan penyeludup manusia untuk dibawa ke lokasi selamat.
Setakat ini, Lebanon menerima seramai 1.14 juta pelarian Syria sekali gus jumlah tertinggi manakala Turki memiliki 815,000 pelarian diikuti Jordan seramai 608,000. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3Bop0k2vc 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment