Saturday 30 August 2014

IS hukum bunuh 160 tentera Syria


SEDUTAN video yang dimuatnaik ke laman sosial kelmarin, menunjukkan sebahagian lelaki dipercayai tentera Syria yang hanya memakai seluar berjalan beramai-ramai di padang pasir sebelum dibunuh oleh militan IS di wilayah Raqa, Syria. - AFP
DAMSYIK 29 Ogos - Militan Negara Islam (IS) dilapor menghukum bunuh lebih 160 tentera Syria selepas menguasai sebuah pangkalan tentera kerajaan di wilayah Raqa semalam, sekali gus meningkatkan kebimbangan Barat terhadap kekejaman kumpulan pelampau terbabit di Asia Barat.
Menurut Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman, kekejaman terbaharu itu berlaku di tiga lokasi berbeza di wilayah terbabit ketika askar Syria melarikan diri ke arah kawasan yang dikuasai kerajaan selepas IS menakluk pangkalan tentera di Tabqa.
Jelas Abdel Rahman, seramai 1,400 askar Syria dikerah mengawal wilayah Raqa, tetapi IS berjaya membunuh lebih 200 anggota tentera, memaksa kira-kira 700 lagi melarikan diri.
Namun katanya, beratus-ratus askar kerajaan ditawan ketika cuba menyeberangi kawasan gurun di Lembah Orontes, malam kelmarin.
"Kami mendapat laporan IS menghukum mati lebih 160 tentera Syria di tiga kawasan berbeza di wilayah Raqa semalam dan awal hari ini," katanya.
Namun dalam laman Twitter milik militan IS, mereka mendakwa telah membunuh lebih 200 askar Syria dan memuat naik video hukuman bunuh itu di dalam laman perkongsian video YouTube.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) melaporkan, jumlah pelarian Syria kini melebihi tiga juta orang berbanding dua juta orang pada tahun lalu dan jumlah berkenaan tidak termasuk beratus-ratus ribu orang yang tidak mendaftar sebagai pelarian.
Tambah UNHCR, situasi kemanusiaan di Syria juga semakin meruncing terutamanya di bandar-bandar yang dikepung akibat pertempuran tentera kerajaan dan kumpulan penentang, menyebabkan penduduk kelaparan dan menjadi mangsa pembunuhan.
"Kebanyakan pelarian ditempatkan di negara berjiran dengan 1.14 juta pelarian di Lebanon, 608,000 orang di Jordan dan 815,000 orang lagi di Turki.
"Perang saudara di Syria juga menyebabkan 6.5 juta penduduk menjadi pelarian di dalam negara dan lebih separuh daripada jumlah tersebut merupakan kanak-kanak," kata laporan itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140830/lu_06/IS-hukum-bunuh-160-tentera-Syria#ixzz3Bomaq8hU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment