Thursday 26 November 2015

Obama pertahan tindakan Turki



AP - SEORANG wanita mengadakan piket membantah tindakan Turki menembak jatuh sebuah jet pejuang Rusia di sempadan Syria di depan Kedutaan Turki di Moscow kelmarin.


WASHINGTON – Presi­den Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan sokongan kepada Turki selepas tentera negara itu menembak jatuh sebuah jet pejuang Rusia berdekatan sempadan Syria.
Turki berhak mempertahankan kedaulatannya, kata Obama ketika menelefon Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju bahawa ketegangan yang timbul tidak boleh di­biarkan terus meningkat, jelas pejabat Obama.
Turki memaklumkan pesawat pengebom Sukhoi Su-24 itu ditembak jatuh kerana melintasi ruang udara Turki kelmarin selepas beberapa kali diberi amaran.
Rusia pula mendakwa jet mereka berada dalam ruang udara Syria dan tidak mene­rima sebarang amaran. Kedua-dua juruterbang dalam pesawat berkenaan berjaya keluar tetapi seorang dari­padanya mati ditembak sebuah kumpulan pemberontak Syria.
Rusia sedang menjalankan operasi mencari di tapak jet itu terhempas, empat kilometer dalam sempadan Syria, kata pegawai kerajaan Rusia.
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pula me­ngadakan mesyuarat tergempar di Brussels kelmarin ekoran insiden berkenaan.
Ketua NATO, Jens Stoltenberg berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Turki mengenai kejadian yang berlaku itu.
“Kita akan terus bersama-sama dengan Turki dan menyokong integriti kedaulatan anggota NATO,” katanya.
Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan pesawat tersebut tidak memberi sebarang ancaman kepada Turki dan terlibat dalam operasi terhadap militan Islamic State.
Turki sebelum ini telah memberi amaran kepada Rusia tentang pencerobohan ruang udaranya ketika operasi yang dimulakan Moscow sejak September lalu bagi menyokong tentera kerajaan Presiden Syria, Bashar Al-Assad. – dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3sXnEOsE0 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment