Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls berkata, EU tidak mungkin dapat menampung terlalu banyak pelarian kerana perkara itu adalah tidak mungkin.
“Mengawal sempadan luar EU adalah penting untuk masa depan blok itu. Jika kita tidak melakukannya, orang ramai akan berkata, ‘Cukup Eropah!,’’ kata Valls semasa satu majlis makan tengah hari bersama media asing seperti lapor media Jerman, Suddeutsche Zeitung, di sini semalam.
Eropah bergelut menangani krisis pelarian paling buruk sejak Perang Dunia Kedua, namun kebimbangan keselamatan mula meningkat sejak kumpulan militan Negara Islam (IS) membunuh sebanyak 130 orang di Paris bulan ini.
EU pada Jumaat lalu bersetuju untuk mempercepatkan pembaharuan zon Schengen bebas pasport menjelang penghujung tahun ini semasa satu mesyuarat di Brussels dengan Perancis mahu menyegerakan pelaksanaan langkah kontroversi bagi mengumpul data setiap penumpang pesawat.
Paris turut meningkatkan usaha untuk mewujudkan satu pakatan antarabangsa bagi memerangi IS yang mengumumkan pemerintahan khalifah di Iraq dan Syria de­ngan Valls memberi amaran kumpulan militan itu turut memberi ancaman kepada negara lain se­perti Jerman dan Itali.
Beliau berkata, blok Eropah mesti melindungi negara masing-masing dengan menangani krisis pelarian hingga ke akar umbi dan memastikan jutaan orang yang melarikan diri dari Syria diuruskan negara-negara berjiran daripada meneruskan perjalanan mereka ke EU.
“Eropah mesti mencari jalan untuk memastikan pelarian Syria ditangani di negara-negara berjiran. Sebaliknya, kemampuan Eropah untuk mengawal sempadan mereka dengan berkesan akan menjadi persoalan,’’ katanya.
Suruhanjaya Eropah semalam memperkenalkan satu kerangka undang-undang bagi EU untuk memberi bantuan kewangan kepada Turki mengendalikan jutaan pelarian Syria di negara tersebut.
Namun menurut sumber, agak sukar untuk memenuhi permintaan Ankara yang mahukan dana seba­nyak 3 bilion euro (RM13.5 bilion) bagi tujuan berkenaan. – AFP