Badan khas yang ditubuhkan Parlimen Britain, Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan untuk mengambil golongan kanak-kanak terbabit dalam usaha memberi perlindungan kepada kira-kira 20,000 pelarian Syria.
Pengerusi jawatankuasa terbabit, Stephen Twigg berkata, golo­ngan kanak-kanak merupakan mangsa paling mudah terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman disebabkan krisis pelarian.
“Kanak-kanak pelarian yang ti­dak berteman berisiko menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia dan mereka akan dijadikan sebagai pelacur, buruh kanak-kanak dan terlibat dalam penjualan dadah.
“Isu ini perlu diberi keutamaan oleh kerajaan Britain,” kata Twigg yang mengetuai jawatankuasa tersebut bagi memantau perkembangan Kementerian Pembangunan Bantuan (DFID) Britain.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migran (IOM), lebih sejuta pelarian, separuh daripada mereka merupakan rakyat Syria yang melarikan diri daripada peperangan, mencari perlindungan di Eropah pada tahun lalu.
September lalu, Perdana Menteri Britain, David Cameron berjanji untuk mengambil kira-kira 20,00 pelarian Syria dalam tempoh lima tahun sebagai memenuhi permintaan rakyat yang mahu nasib pelarian perang dibela.
Dalam perkembangan sama, jurucakap kerajaan dalam kenyataannya berkata, London akan meneliti semula isu membawa kanak-kanak pelarian Syria ke negara ini, sama ada dari rantau Asia Barat atau negara Kesatuan Eropah.
“Kerajaan akan memastikan usul program perlindungan kepada pela­rian akan memenuhi kepentingan kanak-kanak yang terjejas dan tidak mengabaikan nasib golongan itu,” jelas kenyataan tersebut. – REUTERS