Mengikut laporan bulanan Pertubuhan Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), siasatan berhubung penggunaan senjata terlarang di Syria dilaksanakan susulan dakwaan yang menyatakan kerajaan Syria menggunakan bahan berbahaya itu sebanyak 11 kali.
Portal Channel News Asia yang memetik kenyataan ketua OPCW, Ahmet Uzumcu berkata, dalam satu kejadian, ujian analisis ke atas beberapa penduduk, mendapati mereka terdedah kepada bahaya gas sarin atau bahan yang hampir sama.
“Siasatan lanjut perlu dilakukan bagi memastikan bagaimana dan bila bahan yang boleh membawa maut tersebut wujud,” katanya tanpa menjelaskan bila kejadian sera­ngan gas sarin tersebut berlaku.
Pada 2013, kerajaan Syria bersetuju memusnahkan kesemua program senjata kimianya menerusi satu perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, selepas beratus-ratus orang maut dalam serangan gas sarin di pinggir Damsyik.
Susulan itu, rejim Bashar al-Assad menuduh kumpulan penentang menggunakan senjata kimia, walaupun dakwaan tersebut dinafikan oleh kumpulan yang disokong oleh Barat itu.
Sehingga Jun 2014, kerajaan ­Sy­ria telah menyerahkan senjata ki­mia seberat 1,300 tan kepada OPCW, tetapi beberapa kerajaan Barat meragui Damsyik telah menyerahkan keseluruhan senjata berkenaan.
OPCW dalam siasatannya juga mendakwa gas kimia jenis klorin juga digunakan secara sistematik oleh kerajaan Syria ke atas penduduk awam di negara itu.
Penggunaan senjata kimia jenis gas mustard turut digunakan dalam serangan di sebuah pekan yang dikuasai kumpulan militan Negara Islam (IS).