Wednesday 6 January 2016

PBB masuk campur


PENUNJUK perasaan Iran membawa gambar ulama Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr dalam satu protes di Teheran kelmarin. - REUTERS


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – PBB bertindak pantas kelmarin untuk melindungi usaha damai di Syria dan Yemen daripada tergugat susulan perang diplomatik antara Arab Saudi dan Iran.
Utusan PBB ke Syria, Staffan de Mistura mengadakan beberapa perbincangan di Riyadh dan dijadualkan melawat Teheran lewat minggu ini bagi mendapatkan jaminan bahawa proses damai di Syria tidak akan tergugat oleh perbalahan tersebut.
De Mistura cuba untuk mengadakan rundingan damai antara rejim Presiden Bashar Al-Assad dan pihak penentang Syria di Geneva pada 25 Januari ini.
Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada Ahad lepas selepas kumpulan penunjuk perasaan menyerang dan membakar Kedutaan Arab Saudi di Teheran. Mereka membantah pelaksanaan hukuman mati terhadap ulama Syiah, Nimr Al-Nimr oleh Riyadh.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut menghubungi menteri luar kedua-dua negara untuk mendesak mereka supaya mengelak sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan, kata jurucakapnya, Stephane Dujarric.
“Perbalahan ini boleh mendatangkan kesan buruk di rantau Asia Barat,” katanya.
Sebelum ini, Iran dan Arab Saudi memainkan peranan utama ke arah penyelesaian politik berhubung perang saudara di Syria dan Yemen.
Duta Arab Saudi di PBB, Abdallah al-Mouallimi berkata, perbalahan dengan Iran tidak memberikan sebarang kesan kerana “kami akan terus bekerja keras untuk menyokong usaha damai antarabangsa di Syria dan Yemen”.
Dalam pada itu, Kuwait semalam menjadi negara Teluk Arab terbaru memanggil pulang dutanya dari Iran kerana membantah serangan ke atas Kedutaan Arab Saudi selepas Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3wPhIt3w3 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment