Thursday 14 January 2016

Lebih ramai akan mati kebuluran


AFP - IMEJ yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) ini menunjukkan sebahagian konvoi bantuan kemanusian yang bersiap sedia masuk ke bandar Madaya di Syria kelmarin.


PERTUBUHAN BANGSA-­BANGSA BERSATU (PBB) – Pegawai bantuan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria memberi amaran kelmarin bahawa lebih ramai akan mati melainkan tentera kerajaan dan pemberontak menarik balik pengepungan di beberapa bandar di negara itu.
“Keadaan ini perlu dihentikan. Lebih ramai lagi akan mati jika dunia tidak bertindak cepat,” kata Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Syria, Yacoub El Hillo.
Pegawai PBB itu berucap sehari selepas konvoi bantuan menghantar bekalan buat kali pertama dalam masa tiga bulan tiba ke bandar Madaya yang dikepung oleh tentera kerajaan di bawah Presiden Bashar Al-Assad.
Menurut sebuah badan amal perubatan, MSF sebanyak 28 orang telah meninggal dunia akibat kebuluran di Syria sejak 1 Disember lalu.
El Hillo berkata, dia melihat masyarakat di Madaya mengalami kekurangan nutrisi yang teruk terutamanya kanak-kanak yang sangat kurus sehingga tinggal tulang selepas tentera kerajaan mengepung kawasan berkenaan selama enam bulan.
“Kami melihat orang awam tidak mempunyai makanan untuk satu tempoh masa yang lama,” katanya kepada pemberi­ta ketika bercakap menerusi te­lefon dari Damsyik.
El Hillo memohon tindakan PBB untuk menamatkan pengepungan dengan menggambarkan sekatan itu sebagai punca utama kepada penderitaan penduduk Syria.
PBB dalam pada itu berkata, pihaknya sedang berusaha menyampaikan bantuan kepada kira-kira 4.5 juta rakyat Syria yang tinggal di kawasan terpencil termasuk hampir 400,000 orang di 15 kawasan dikepung.
Majlis keselamatan PBB telah menerima pakai resolusi yang mendesak penamatan sekatan, namun diabaikan oleh pihak yang berkonflik.
Rundingan sedang dijalankan bagi memindahkan 400 rakyat Syria, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dari sebuah hospital di Madaya dan membawa klinik bergerak untuk menyediakan perkhidmatan rawatan, kata El Hillo.
Pesakit-pesakit mungkin dibawa ke hospital di Damsyik bagi menerima bantuan perubatan segera, katanya.
“Saya mempunyai alasan yang kukuh bahawa tindakan ini perlu dilakukan,” tambahnya.
Selepas beberapa bulan run­dingan, PBB dan rakan bantuan­nya pada Isnin lalu berupaya menghantar 65 trak penuh dengan makanan, bantuan perubatan, selimut dan pakaian musim sejuk kepada penduduk Madaya yang terperangkap selain dua lagi bandar iaitu Fuaa dan Kafraya.
Penghantaran bantuan itu berjaya dihantar menjelang pusingan baharu rundingan damai Syria yang dirancang pada 25 Januari ini di Geneva.
Lebih 260,000 penduduk terbunuh di Syria sejak konflik yang bermula dengan demons­trasi antikerajaan berlaku pada Mac 2011. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3xBtdGVzc 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment