Penyelaras kemanusiaan PBB untuk Syria, Yacoub El Hillop berkata, keadaan buruk itu boleh berlaku jika masyarakat dunia gagal mengambil tindakan pantas.
“Kepungan mesti dihentikan,” tegas beliau sehari selepas konvoi bantuan menghantar bekalan pertama dalam tempoh tiga bulan ke bandar-bandar terbabit termasuk Madaya.
Sebanyak 28 orang maut di Madaya akibat kebuluran sejak 1 Di­sember lalu.
Mengulas tentang kebuluran di Madaya yang terkepung selama enam bulan oleh tentera Syria, beliau berkata, penduduk di sana terutamanya kanak-kanak terlalu kurus seperti rangka bernyawa akibat kekurangan makanan.
“Kami dapat melihat orang yang tidak makan dalam satu tempoh yang lama,’’ katanya.
Yacoub turut merayu PBB memainkan peranan untuk menghentikan kepungan terbabit yang menjadi faktor utama kepada ke­sengsaraan penduduk dan satu taktik perang digunakan kedua-dua pihak bertelagah dalam konflik yang bermula sejak lima tahun itu.
Menurut PBB, pihaknya kini berusaha untuk menghantar bekalan kepada 4.5 juta penduduk Syria yang berada di kawasan terpencil termasuk 400,000 orang yang berada di 15 kawasan yang dikepung.
Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi menggesa penamatan kepungan berkenaan namun setakat ini, pihak-pihak bertelagah tidak menghiraukannya. – AFP