Wednesday 13 January 2016

Ratusan rakyat Syria perlu rawatan segera

Ratusan rakyat Syria perlu rawatan segera

13 JANUARI 2016

Puluhan kotak bekalan bantuan dibawa keluar dari lori di sebuah gudang di Idlib, dekat barat laut Syria. - Foto: AFP

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya 400 rakyat Syria perlu segera dipindahkan dari Madaya untuk menerima rawatan perubatan.
Menurut Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), usaha itu perlu selepas konvoi bantuan menyampaikan bekalan pertama ke situ.
PBB telah meminta Kerajaan Syria membenarkan 400 rakyatnya keluar dari Madaya melalui udara, di mana anggota perubatan agensi sukarela Doctors Without Borders (MSF) memberitahu, seramai 28 orang meninggal dunia akibat kebuluran sejak 1 Disember lalu.
"Mereka perlu dipindahkan malam ini (kelmarin) untuk dirawat dengan segera dan mahu kebenaran daripada Kerajaan Syria untuk membawa semua mangsa keluar," menurut Duta New Zealand, Gerard van Bohemen.
Sementara itu, Duta Sepanyol Roman Oyarzun berkata, 15 anggota majlis dimaklumkan oleh Ketua bantuan PBB, Stephen O’Brien bahawa 400 rakyat Syria berkenaan dalam kondisi yang sangat kritikal dan keadaan akan menjadi lebih buruk jika tidak dipindahkan segera.
Difahamkan, beberapa jam sebelum itu konvoi 44 trak penuh dengan bekalan makanan, susu bayi, selimut dan bekalan lain telah memasuki Madaya, yang berada dalam kepungan tentera Presiden Bashar al-Assad selama enam bulan.
Menurut PBB lagi, pihaknya menghadapi kesukaran untuk menyampaikan bantuan kepada kira-kira 4.5 juta rakyat Syria yang tinggal di kawasan sukar dimasuki termasuk hampir 40,000 di 15 kawasan dikepung. - AFP

No comments:

Post a Comment